Saifuddin arah batal arahan, penentuan penggunaan spektrum 5G

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Arahan dan Penentuan berkenaan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz, iaitu jalur spektrum perintis bagi pelaksanaan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) negara telah diarah dibatalkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Arahan itu dibuat selepas mengambil kira isu-isu teknikal, undang-undang dan perlunya mengikut proses yang telus.

“Saya telah mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membatalkan Arahan dan Penentuan itu, serta mengkaji semula 18 instrumen yang dibentangkan kepadanya sebelum ini, dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain jalur frekuensi 700MHz, Saifuddin berkata, arahan sama turut diberikan ke atas penggunaan spektrum jalur frekuensi 900MHz, dan 2600MHz.

Menurut beliau, sumber spektrum merupakan satu aset negara yang diuruskan SKMM, manakala pengurusan dan kawal selia penggunaannya adalah berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, pengurusan dan penguntukan spektrum ini adalah penting untuk pembangunan negara melalui perkembangan pelbagai sektor seperti perkhidmatan sektor telekomunikasi, penyiaran, sains dan teknologi, kesihatan, maritim dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementeriannya komited dalam usaha membangunkan negara, serta memberikan perkhidmatan terbaik dalam teknologi dan telekomunikasi, capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan kemudahan ICT terkini serta berkualiti tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: