Bapa Syukur risau keselamatan pengunjung

Pengunjung tidak melepaskan peluang merakam gambar di kandang kerbau ternakan Khamis.
Pengunjung tidak melepaskan peluang merakam gambar di kandang kerbau ternakan Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Selepas dua minggu cerita mengenai Muhammad Syukur Khamis tular, kandang menempatkan kerbau ternakan bapanya di Kampung Kubang Bujuk di sini, tidak putus-putus menerima kunjungan.

Bapanya, Khamis Jusoh, 63, berkata, selain kandang, kediamannya di Kampung Banggol Katong turut menerima tetamu dari seluruh pelosok negara.

“Ramai yang datang untuk melihat sendiri Syukur melayani kerbau peliharaan. Ada yang datang dari jauh sampaikan luar Terengganu antaranya Johor dan Pulau Pinang.

“Mereka berkunjung setiap hari. Tidak kira hari minggu atau hari bekerja, sekiranya cuaca baik lebih ramai yang akan datang. Saya sebenarnya bimbang keselamatan pengunjung kerana kedudukan kandang kerbau berhampiran jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun tidak dapat menganggarkan dengan jelas jumlah kunjungan dalam sehari, kehadiran tetamu dilihat semakin bertambah selepas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertemu Syukur di SMK Padang Midin, minggu lalu

[ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee bertemu Mowgli Malaysia]

“Saya bimbang keselamatan lalu lintas, kalau boleh kita mahu minta pihak berkuasa mengawal keselamatan di sini. Bukan apa, saya bimbang berlaku kemalangan. Lebih-lebih lagi melibatkan tetamu yang datang untuk melihat kerbau peliharaan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Khamis berkata, kehadiran ramai pengunjung itu turut membuka pintu rezeki kepada penduduk di kampung itu.

Orang ramai tidak putus-putus mengunjungi kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk.
Orang ramai tidak putus-putus mengunjungi kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk.

Artikel Berkaitan:

“Baru hari ini (semalam) ada peniaga yang membuka jualan makanan dan minuman di sekitar kawasan ini.

“Kita tidak halang, terpulang kepada mereka untuk berniaga asalkan dapat menjaga keselamatan dan kebersihan,” katanya.

Gambar Syukur bersama sekawan kerbau menjadi tular di media sosial 10 Januari lalu selepas menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai dalam 20 gambar terbaik dunia.