Punggah daun ketum dalam timbunan sekam padi

Samsulmuddin (dua, kanan) bersama barisan anggota dan pegawai dari BSJN Bachok menunjukkan rampasan daun ketum seberat 797 kg yang bernilai RM19,175 daripada empat lelaki di tepi jalan di Tawang, Bachok.
Samsulmuddin (dua, kanan) bersama barisan anggota dan pegawai dari BSJN Bachok menunjukkan rampasan daun ketum seberat 797 kg yang bernilai RM19,175 daripada empat lelaki di tepi jalan di Tawang, Bachok.
A
A
A

BACHOK - Empat lelaki ditahan ketika sedang leka memunggah daun ketum yang disorok dalam timbunan sekam padi di dalam sebuah treler di tepi jalan Kampung Pengkalan Cina, Tanjung Pauh, Tawang di sini, Sabtu lalu.

Mereka yang berusia antara 23 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Bachok pada jam 7.30 malam selepas menerima maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Samsulmuddin Sulaiman berkata, ketika serbuan empat suspek terbabit sedang menurunkan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dari bahagian belakang treler.

“Pemeriksaan di dalam plastik menemui 767 kilogram daun ketum bernilai RM19,175.

“Pemandu berusia 35 dan beralamat di Johor itu memberitahu memperoleh upah RM5,000 untuk membawa treler yang kononnya dimaklumkan muatan barangan plastik dari utara Kedah ke Bachok, Kelantan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis bagaimanapun percaya suspek mengetahui barangan yang dibawa itu dan tidak menolak kemungkinan sedang menunggu pelanggan datang mengambil barangan itu di lokasi berkenaan.

“Mereka licik kerana mengambil kesempatan dengan menggunakan modus operandi menyorokkan ketum di dalam sekam padi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Artikel Berkaitan:

“Pemandu dan kelindan itu juga bertolak dari Kampung Durian Burong, Kedah pada petang Jumaat manakala dua lagi lelaki menunggu di Bachok dan tiba pada waktu Maghrib bagi menyukarkan pergerakan mereka dikesan polis,” katanya.

Treler bernilai RM300,000 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu tersebut turut disita bersama-sama sekam padi yang di bawa ke IPD Bachok untuk tindakan lanjut
Treler bernilai RM300,000 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu tersebut turut disita bersama-sama sekam padi yang di bawa ke IPD Bachok untuk tindakan lanjut

Samsulmuddin berkata, treler bernilai RM300,000 tersebut disita dan pemeriksaan mendapati kenderaan berat itu didaftarkan di atas nama sebuah syarikat di Kota Bharu tetapi menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kita percaya mereka juga sudah menurunkan sebahagian lagi bekalan ketum di lokasi lain ketika dalam perjalanan antara Jeli ke Bachok.

“Urin mereka didapati negatif namun tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan khianat dan dadah,” katanya.

Tambah beliau, mereka kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 108 Anta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

“Polis akan meningkatkan penguatkuasaan berikutan setakat ini setiap minggu menerima laporan berhubung penjualan dan penyalahgunaan ketum di daerah ini.

“Kami percaya daun ketum itu berkenaan alternatif kerana harganya lebih murah antara RM20 hingga RM25 sekilogram manakala air ketum siap proses dijual antara RM5 hingga RM15 satu plastik bergantung kepada beratnya,” katanya.

Timbunan sekam padi bagi menyorokkan daun ketum digunakan suspek sebagai modus operandi ketika PKPB bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa
Timbunan sekam padi bagi menyorokkan daun ketum digunakan suspek sebagai modus operandi ketika PKPB bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa