MB Kedah pernah makan nasi berlauk garam

Muhammad Sanusi tidak dapat menahan sebak ketika mengimbas kesusahan hidup bersama keluarga. Foto: WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
Muhammad Sanusi tidak dapat menahan sebak ketika mengimbas kesusahan hidup bersama keluarga. Foto: WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
A
A
A

Mungkin ramai yang belum mengenali figura Muhammad Sanusi Md Nor yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada 17 Mei lalu.

Peralihan kuasa di Kedah menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir, digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Pas. Ia berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas yang menyokong PN, disusuli empat ADUN Bersatu yang beralih sokongan.

Dalam sekelip mata, nama Muhammad Sanusi disebut-sebut sebagai pengganti dan ia menjadi kenyataan apabila ADUN Jeneri itu mengangkat sumpah jawatan.

Sesi wawancara di Alor Setar baru-baru ini terhenti enam kali apabila Muhammad Sanusi tidak dapat meneruskan kata-kata ketika menceritakan kisah hidup beliau. Foto: WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
Sesi wawancara di Alor Setar baru-baru ini terhenti enam kali apabila Muhammad Sanusi tidak dapat meneruskan kata-kata ketika menceritakan kisah hidup beliau. Foto: WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

Anak kelahiran Sik itu sebelum ini lebih dikenali sebagai mantan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah ke-10, Tan Sri Azizan Abdul Razak, selain pernah menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah.

Orangnya bersahaja dan mudah didekati, malah beliau ialah individu yang mudah berjenaka walaupun sikap ‘chengei’ (garang dalam bahasa orang utara) tetap ada, tidak ubah seperti Allahyarham Azizan.

Siapa sangka kehidupan Muhammad Sanusi cukup berliku sejak kecil mahupun dalam karier politiknya. Mengimbas kembali zaman kepayahan yang dilaluinya, Muhammad Sanusi tidak dapat menahan sebak ketika ditemu bual di pejabatnya, sehingga sesi temu ramah terpaksa dihentikan enam kali.

Inilah kali pertama penulis berdepan situasi seumpama itu, biarpun telah menemubual tiga menteri besar sebelum ini iaitu Allahyarham Azizan, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Artikel Berkaitan:

Zaman susahMuhammad Sanusi berkata, kata-kata Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad masih terngiang-ngiang di telinganya, ‘Sik kaya dengan kemiskinan’.

“Ya memang benar, saya akui sebab saya sendiri laluinya. Susah senang ketika zaman kanak-kanak tinggalkan kenangan yang untuk sukar saya lupakan.

“Adik-beradik saya ramai, saya anak ketujuh daripada 13 beradik, bapa tak berharta, cuma kerja cari petai hutan. Sambil itu dia buat pelbagai kerja kampung seperti tukang rumah, tebas kebun dan tanam ubi untuk tauke Cina. Bapa dan mak sama-sama menoreh getah tapi ambil upah saja sebab kami tak ada kebun getah,” katanya yang terhenti seketika menahan sebak.

Gambar kenangan Muhammad Sanusi bersama ibu bapanya sewaktu tamat pengajian di USM, Pulau Pinang.
Gambar kenangan Muhammad Sanusi bersama ibu bapanya sewaktu tamat pengajian di USM, Pulau Pinang.

Menurutnya, mereka sekeluarga ketika itu terpaksa berebut rezeki dengan kera dan lutung bagi mengalas perut.

“Kawan bapa saya pernah kata pada kami, hangpa ni adik-beradik... (katanya tersekat-sekat) membesar berebut rezeki dengan... (terhenti sekali lagi menahan sebak) kera dan lutung. Sebab petai kalau lambat ambil memang jadi rezeki kera. Kalau kera tak ambil sempatlah ia jadi rezeki bapa saya,” katanya terhenti sambil mengesat air mata.

Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak dapat menahan emosi apabila mengimbas kemiskinan keluarga, namun tidak pernah dikesali ketentuan-Nya.

“Nasi berlaukkan garam, nasi digaul minyak ikan goreng dan nasi berlaukkan belalang goreng adalah antara makanan harian dulu. Kami berebut sebiji telur rebus dibelah lapan. Kak sulung saya masuk universiti, bapa jual lembu tapi duit tak cukup, tauke Cina tempat bapa kerja bantu,” katanya.

Menurutnya, selepas itu bapanya berhijirah ke Singapura (tahun 1978 hingga 1980-an) untuk mengubah nasib keluarga mereka.

“Walaupun daripada keluarga susah, 10 daripada 13 adik-beradik kami dapat masuk universiti. Orang tak mahu lalui kemiskinan, bila kita lalui dan lepasi dengan pencapaian luar biasa, ia menambah emosi,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya jawatan Menteri Besar dianggap satu pencapaian, dirinya berasa sangat luar biasa.

“Nak kata hadiah untuk pengorbanan ibu bapa yang bersusah payah besarkan kita pun tak boleh, sebab jawatan ni hak orang ramai. Nak sampai ke tahap ini memang susah,” katanya sebak.

Menurutnya, zaman kini berubah kerana sesiapa pun boleh menjadi pemerintah dan membentuk kerajaan berbanding era terdahulu.

“Ada banyak sejarah, pemerintah yang diangkat daripada kelompok tertentu, dia akan bagi keutamaan kepada kelompok dia. Kalau kelompok daripada tuan tanah, dia beroleh banyak manfaat. Dalam Islam, tugas pemerintah adalah ambil daripada orang kaya dan agih kepada orang miskin melalui zakat, sedekah serta konsep agihan dalam Islam.

“Saya doakan kerajaan saya akan ikut naratif itu dan orang akan bagi kerjasama supaya yang miskin dapat hidup dan tak dengki dengan kekayaan orang lain. Orang kaya boleh kumpul harta, namun tetap beri sebahagian kepada yang miskin. Masyarakat dibentuk acuan Islam ini akan berlaku di Kedah,” katanya.

Muhammad Sanusi (duduk, kanan sekali) bergambar bersama rakan sekelasnya sewaktu Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains Mohamad Jiwa, Kedah.
Muhammad Sanusi (duduk, kanan sekali) bergambar bersama rakan sekelasnya sewaktu Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains Mohamad Jiwa, Kedah.

BIODATA

Nama: Muhammad Sanusi Md Nor

Umur: 46 tahun (4 Ogos 1974)

Asal: Kampung Sungai Pau, Jeniang, Sik

Pendidikan:

Universiti Sains Malaysia

(1994-1998)

Sekolah Menengah Derma, Kangar, Perlis (1992-1993)

Sekolah Menengah Sik (1990-1991)

Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (1987-1990)

Pengalaman kerjaya:

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah (2015-kini)

Setiausaha Politik MB Kedah (2008-2013)

Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Darul Aman (2010-2013)

Eksekutif Penilaian di Firma Jurunilai Bersekutu (2004-2008)

Aktif sukan: Bola sepak, takraw, ragbi, kriket