Tidak sokong Muhyiddin tidak bermaksud keluar Bersatu

Gambar kiri: Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah.
Gambar kiri: Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lima pemimpin menegaskan mereka masih ahli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) kerana tidak pernah mengisytiharkan keluar dari parti itu atau menyertai parti politik lain.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, lima pemimpin itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik menegaskan pengeluaran dari parti tidak boleh dibuat oleh Setiausaha Kerja melainkan selepas diadakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin dan pihak dituduh diberi peluang mempertahankan diri.

Menurut mereka lagi, pilihan mereka untuk tidak menyokong kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna mereka keluar dari Bersatu.

“Kami secara jelas dan tuntas pada 18 Mei 2020 semasa Persidangan Dewan Rakyat memilih untuk berada di blok yang tidak menyokong kerajaan Muhyiddin kerana ia kerajaan yang memungkiri mandat rakyat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

[ARTIKEL BERKAITAN] - Keahlian terlucut serta-merta bukan dipecat: Muhyiddin

“Surat pemakluman oleh (Setiausaha Kerja Bersatu) Kapten (B) Suhaimi Yahya atau pernyataan oleh individu lain sekalipun ia datang dari seorang Perdana Menteri tidak boleh mengubah fakta bahawa perlucutan keahlian kami salah di sisi perlembagaan parti dan undang-undang dan berniat jahat.

"Alasan kononnya kami telah hilang keahlian kerana menduduki kerusi tertentu di Parlimen tidak termasuk dalam Perlembagaan Parti,” kata mereka.

Selain itu, mereka juga menyebut Fasal 6 Perlembagaan Bersatu yang merujuk kepada tujuan dan matlamat parti itu ditubuhkan iaitu memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

“Tidak ada sebarang pertuduhan terhadap kami melakukan perkara bercanggah dengan agenda parti.

Artikel Berkaitan:

“Perlembagaan parti juga berlandaskan kepada ‘Rule of Law’. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatasi undang-undang. Semua ahli Parti berhak kepada Parti ini. Perbuatan Muhyiddin dan enam lagi ahli Parlimen lain jelas melanggar perlembagaan parti kerana tiada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk keluar PH.

“Muhyiddin dan enam lagi ahli Parlimen tersebut telah melanggar etika parti dan wajar dihadapkan ke lembaga disiplin,” kata mereka.

Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan Bersatu keluar dari PH ketika krisis politik yang menyaksikan Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri sekaligus menyebabkan kerajaan PH tumbang.