Penangan nasi tido

Makyang menunjukkan menu nasi tido dan roti jala yang dijual di warungnya.
Makyang menunjukkan menu nasi tido dan roti jala yang dijual di warungnya.
A
A
A

MERSING - Datang ke Mersing semata-mata mencari ‘nasi tido’ itulah dilakukan pengunjung luar dari daerah ini yang mahu menikmati keunikan menu tersebut.

Pemilik Warung Nasi Tido, Pardiah Wandi, 62, berkata, rata-rata pelanggan yang datang akan memesan menu berkenaan yang bukan sahaja unik dari segi namanya bahkan cara persembahannya juga.

Menurutnya, di warungnya terdapat lima menu ditampilkan antaranya nasi tido, nasi lemak, bihun sup, mi sup dan roti jala.

“Warung dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari. Nasi tido ini merupakan nasi goreng yang mana kita sediakan bersama sup daging.

“Rata-rata pelanggan memberitahu uniknya nasi tido kami pada supnya. Sepinggan nasi tido hanya berharga RM5. Sambutan pelanggan terhadap menu ini sangat luar biasa.

“Kadang-kadang kita pun tak tahu macam mana orang luar tahu tentang nasi tido ini sedangkan Facebook pun kita tiada. Tapi mereka cakap rakan-rakan mereka yang mengesyorkan jadi mereka datang sini cari nasi tido,” katanya.

Asal perkataan Banjar

Pardiah yang dikenali dengan panggilan Makyang berkata, nama nasi tido itu diperoleh dari perkataan Banjar.

Makyang melayan pelanggan yang menjamu selera di kedainya.
Makyang melayan pelanggan yang menjamu selera di kedainya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ‘guring’ dalam bahasa Banjar manakala bahasa Melayu bermaksud ‘tidur’ sekali gus memberi idea kepadanya meletakkan menu tersebut sebagai nasi tido.

“Nak letak nasi goreng tido panjang sangat jadi kami letak menu itu nama nasi tido. Kebetulan kawasan kampung ini adalah kawasan di mana ramai penduduk berketurunan Banjar tinggal.

“Arwah suami juga merupakan orang Banjar sementara makcik orang Jawa,” katanya.

Warung yang telah diusahakan sejak 16 tahun itu kini dibantu lima pekerja terdiri daripada anak dan cucunya.

Menceritakan permulaan membangunkan perniagaannya itu, Makyang berkata, warung berkenaan dibuka bersama arwah suaminya.

Makyang memanaskan sup daging untuk hidangan pelanggan.
Makyang memanaskan sup daging untuk hidangan pelanggan.

Katanya, resipi nasi tido merupakan resipi air tangan arwah suaminya yang memang gemar memasak.

“Suami makcik meninggal pada 2003 akibat sakit jantung. Dulu makcik hanya buat kuih dan hantar di kedai-kedai.

“Namun arwah suami mencadangkan agar kami buka warung ini. Di zaman bujangnya arwah suami merupakan tukang masak pernah bekerja di kedai makan dekat Singapura. Jadi kami pun buka warung dan berniaga bersama untuk menyara anak-anak,” katanya.

Tidak dinafikan pemergian suaminya merupakan satu tamparan hebat seolah-olah Makyang kehilangan sebelah tangan.

Jelasnya, dia hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan perniagaan warungnya kerana mengingatkan kenangan bersama suami.

“Namun demi anak-anak yang masih bersekolah saya kuatkan hati dan semangat. Kerana ketika itu jika saya tidak meneruskan perniagaan ini siapa yang akan tanggung anak-anak bersekolah.

“Syukur sehingga kini tak sangka menu air tangan arwah suami ini menjadi terkenal pula dalam kalangan orang luar dari Mersing. Warung kami hanya dapat muatkan kira-kira 50 orang sahaja dalam satu masa, ada waktunya pelanggan terpaksa menunggu giliran meja kosong semata-mata mahu makan nasi tido ini,” katanya.