Durian, bercinta, arak punca melayang RM1,000!

Beberapa individu yang ditahan memberi alasan hanya sekadar mahu mengambil angin di tepi laut.
Beberapa individu yang ditahan memberi alasan hanya sekadar mahu mengambil angin di tepi laut.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seramai 42 individu termasuk 12 perempuan dikompaun selepas dikesan melepak dan bersantai di sepanjang Pantai Seagate di sini, malam tadi.

Dalam pemantauan yang dilakukan bermula jam 10 malam itu mendapati ada di kalangan mereka yang ditahan sedang berkelah sambil menikmati durian, melepak di tepi laut sambil minum minuman keras selain beberapa pasangan kekasih yang duduk berduaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, perbuatan mereka yang melepak di kawasan itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, pelbagai alasan yang diberikan oleh mereka namun pihaknya tidak akan berkompromi kerana peringatan dan amaran telah berulang kali diberikan oleh kerajaan.

"Kebanyakan daripada mereka tahu tentang kesalahan yang dilalukan namun tetap ingkar dan alpa sehingga terpaksa menanggung akibat dengan membayar kompaun RM1,000 setiap seorang.

"Walaupun dalam tempoh PKPB namun semua masih perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak terlibat dengan aktiviti sosial atau melepak tanpa tujuan," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Pasangan kekasih antara yang dikompaun.
Pasangan kekasih antara yang dikompaun.

Anbalagan berkata, mereka yang dikompaun terdiri daripada 30 lelaki dan 12 perempuan berusia antara 17 dan 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lokasi berkenaan yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya golongan anak muda pada malam minggu sebelum ini lengang ketika tempoh PKP.

Namun sejak pelaksanaan PKPB, terdapat individu dan kumpulan yang mengambil kesempatan untuk melepak sedangkan ia adalah kesalahan.

Tambahnya, tindakan kompaun diambil mengikut kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

"Selepas selesai urusan kompaun, kesemua mereka diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

"Kita berharap apa yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang digariskan dalam PKPB,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan rekreasi dan lokasi tumpuan ramai dalam memastikan pematuhan SOP selain usaha untuk memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).