‘Lompat sekarang lompat cari makan’

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
A
A
A

[LAPORAN KHAS] Suatu ketika dahulu, Datuk Ibrahim Ali pernah dilabelkan sebagai ‘Raja Katak’ kerana tindakannya melompat parti.

Namun Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu menegaskan, tindakannya itu adalah soal prinsip diri, selain digugurkan daripada parti kerana perjuangan yang dibawanya.

Berbeza dengan politik hari ini, Ibrahim berkata, ahli politik yang melompat parti sekarang bertujuan untuk mencari makan semata-mata.

“Saya melompat dulu berbeza dengan orang yang melompat sekarang. Lompat sekarang ini lompat cari makan. Saya dulu kena pecat, kena gugur kerana perjuangan. Saya hilang parti maka saya masuk parti lain. Saya tubuh parti sendiri.

“Saya bukan lompat kerana semata-mata lompat. Sekarang ini ada dua kerenah orang melompat. Satu dia bertanding dalam pemilihan parti, dia kalah, dia keluar parti itu dan tubuhkan parti lain. Satu lagi dia lompat, dia menang tetapi parti dia kalah, tidak boleh tubuh kerajaan, dia lompat ke parti yang menang untuk cari makan.

“Itu yang saya gelar lompat ‘barua’. Saya dulu tidak ada kena mengena dengan situasi seperti ini. Pertama, UMNO diharamkan. Selepas itu saya kembali kepada UMNO dan digugurkan Ketua Bahagian. Saya menghadapi perubahan parti kerana keadaan memaksa saya. Saya meletakkan pendirian diri dalam parti. Bukan saya lompat suka-suka,” katanya.

Ibrahim (tengah) kini menjadi Presiden Putra, parti yang ditubuhkan beliau pada Mei tahun lalu.
Ibrahim (tengah) kini menjadi Presiden Putra, parti yang ditubuhkan beliau pada Mei tahun lalu.

Ibrahim pernah menyertai parti UMNO dan memenangi Parlimen Pasir Mas, Kelantan atas tiket Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah menjadi Exco Pemuda UMNO sekitar tahun 1987 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1988 dan bergabung dengan Pas, beliau turut menyertai Tengku Razaleigh. Angkatan Perpaduan Ummah hasil gabungan Pas dan Semangat 46 berjaya menumbangkan kerajaan BN di Kelantan pada tahun 1990.

Apabila Tengku Razaleigh menyertai semula UMNO dan membubarkan Semangat 46, beliau turut menyertai UMNO tetapi kemudiannya dipecat dan dilucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003 serta keahliannya digantung seumur hidup.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, Ibrahim bertanding dalam kawasan Pasir Mas sebagai calon bebas tetapi tewas manakala dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, beliau sekali lagi bertanding tetapi tewas kepada calon BN, Hanafi Mamat dan hilang wang pertaruhan.

Dalam PRU pada 2008, beliau mencatat sejarah menjadi calon Pas bagi Parlimen Pasir Mas. Walaupun beliau tidak menjadi ahli Pas, beliau memenangi kerusi tersebut.

“Politik serba mungkin. Siapa boleh jangka Pakatan Harapan boleh tumbang. Kalau Perikatan Nasional tumbang juga apa yang kita nak terkejut? katanya.