Ada gerakan naikkan kembali Najib

Najib
Najib
A
A
A

TERDAPAT desas-desus kononnya ada desakan supaya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Difahamkan, usaha untuk melobi jawatan tersebut sedang dilakukan bagi membolehkan Najib mendapat kembali jawatan yang pernah dipegang beliau sebelum ini.

Percubaan tersebut bukanlah kali pertama kerana pada tahun lalu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas mendedahkan Najib pernah meminta supaya dijadikan sebagai Pengerusi BN.

Bagaimanapun, pada ketika itu, Ahli Parlimen Pekan itu telah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN oleh Majlis Dewan Tertinggi BN dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan Pengerusi BN pada ketika ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, saranan supaya Najib memegang jawatan lebih penting dalam parti itu dilihat relevan ke arah mengukuhkan lagi UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurutnya, peranan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu perlu diketengahkan selain pada ketika ini beliau hanya diberikan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN sedangkan fungsi jawatan berkenaan dilihat agak minimum.

“Langkah ini bertujuan membantu UMNO dan BN menghadapi pilihan raya akan datang atau bagi mendapatkan keyakinan rakyat kembali. Ini pandangan saya, apa yang boleh menguatkan kembali BN ini, Najib mestilah dilantik sebagai Pengerusi BN.

“Walaupun secara tradisionalnya Presiden UMNO ialah Pengerusi BN tetapi kali ini kita lihat, saya bukan kata Presiden (UMNO) gagal, (langkah) ini untuk memperkasakan lagi Presiden UMNO supaya Datuk Seri Najib boleh membantu Presiden UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Najib perlu dilantik sebagai Pengerusi BN. Perkara ini boleh dilakukan sebenarnya. Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid boleh fokus dalam parti UMNO, memperkuatkan UMNO dan memperkukuhkan UMNO,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Berbeza pula pandangan bagi seorang lagi ‘orang kuat’ Najib iaitu bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang berpendapat hal ehwal dalaman parti perlu diserahkan kepada mereka yang berjawatan.

“Pada saya, biarlah mereka yang berjawatan menjalankan tanggungjawab, ada jawatan dalam UMNO seperti Presiden, Timbalan dan Naib Presiden serta semua yang terbabit kerana inilah hierarki dalam UMNO. Najib boleh bertanding apabila sampai masanya nanti.

“Apabila tiba pemilihan (parti) akan datang, setelah beliau selesai menjalani proses perbicaraannya di mahkamah, memang dia layak untuk bertanding (dalam pemilihan UMNO) akan datang. Bukan sahaja layak tetapi dia berhak untuk bertanding,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pilihan raya umum secara mengejut dalam tempoh terdekat ini, keputusan parti perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti yang ada sekarang untuk membuat keputusan bagi mewakili UMNO dan BN.

Ketika ditanya mengenai reputasi Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO yang masih berhadapan pertuduhan kes di mahkamah, Raja Nong Chik berkata, soal itu tidak timbul kerana Ahmad Zahid menang dalam pemilihan UMNO dan beliau juga masih belum dibuktikan bersalah di mahkamah.