PRK Chini: PKR bertanding atau tidak?

No Image Caption
A
A
A

HANYA tiga minggu lagi penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Pekan, Pahang akan dibuka.

Namun, dapat dilihat banyak desakan daripada gabungan parti Perikatan Nasional (PN) yang menggesa Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon mereka bagi merebut kerusi N23 itu.

Gesaan itu dibuat bagi membolehkan calon daripada Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding, selain situasi negara sekarang sedang dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub menggesa PH menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) melupakan hasrat bertanding kerana parti itu tidak mampu mencabar kekuatan Muafakat Nasional (MN) atau PN.

Ini kerana kerusi N23 adalah kubu kuat BN dan tambahan pula tiada mana-mana parti boleh menandingi kekuatan gabungan BN dan Pas.

Dari segi akar umbi Pas pula, dapat dilihat parti itu begitu konsisten dan menghormati calon daripada rakan gabungan MN dalam PRK Chini.

Perkara itu dimuktamadkan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang mengesahkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calonnya.

Jika senario itu terjadi, pasti PN yang mendapat manfaat daripada keadaan tersebut dan ia memberi kelebihan kepada calon BN untuk mengekalkan kemenangan di kawasan kubu kuat parti itu.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Abu Bakar yang mewakili BN memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405 undi) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).

Persoalannya, adakah parti lawan mendengar desakan itu dengan memberi BN atau UMNO menang secara percuma?

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh sebelum ini menjelaskan PH tidak akan membenarkan BN mewakili PN menang secara percuma, sebaliknya akan terus mencabar.

Sungguhpun begitu, penganalisis politik daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Che Hamdan Che Mohd Razali menjangkakan PKR tidak akan bertanding merebut kerusi DUN Chini.

Menurutnya, peluang bagi PKR untuk menang amat tipis sekali berdasarkan keputusan lalu dan juga kayu ukur ketika PRK yang berlangsung di beberapa negeri selepas PRU-14.

“Situasi ini meletakkan mereka (PKR) berada dalam keadaan serba salah. Jika tidak bertanding, sudah tentu menimbulkan persepsi bahawa mereka sudah menyerah kalah dan memberikan satu pengiktirafan kepada kerajaan sekarang.

“Jika PKR bertanding dan kalah, ia pasti memberikan satu pukulan yang hebat dari segi moral PH.

“Jadi, pertimbangan sewajarnya perlu diambil PKR untuk mengira untung rugi penyertaan mereka dalam PRK ini,” katanya.

Menurutnya, memandangkan senario konflik politik semasa, Pas dari awal lagi menyerahkan kepada BN manakala parti Bersatu sudah tentu tidak mengetengahkan calon kerana mereka adalah sebahagian daripada gabungan PN.

Jelasnya, dilema pasti dihadapi PKR kerana hanya tinggal parti ini yang mempunyai kapasiti untuk bertanding di N23 selain calon bebas.

Che Hamdan bagaimanapun berkata, dalam konteks pemasaran politik, PRK begini menjadi medan dan peluang untuk mengetengahkan calon muda.

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat pada hari penamaan calon pada 20 Jun ini.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian edisi Pahang