Cawangan Isuzu kini di Kluang

Ann Siong (tiga, kanan) bersama Koji (tiga, kiri) sewaktu pembukaan bilik pameran Isuzu di Taman Kluang Jaya, Kluang.
Ann Siong (tiga, kanan) bersama Koji (tiga, kiri) sewaktu pembukaan bilik pameran Isuzu di Taman Kluang Jaya, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Jumbo Arena Sdn Bhd (Jumbo Arena) yang merupakan pengedar bertauliah Isuzu di Johor telah membuka bilik pameran ketiga mereka di daerah ini selepas Segamat dan Batu Pahat.

Pengarah Urusannya, Yeo Ann Siong berkata, syarikatnya mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang automotif dan mempunyai beberapa pelanggan penting seperti pembuat roti Mighty White, Mighty Bakery Sdn Bhd yang telah menerima trak lsuzu mereka yang ke-100, baru-baru ini.

“Saya yakin dengan pembukaan bilik pameran Isuzu di Kluang ini akan menarik beberapa pengeluar besar pertanian dan pengusaha barangan dan kedua-dua sektor ini mempunyai permintaan yang tinggi terhadap produk Isuzu untuk menyokong industri kelapa sawit dan pembuatan jubin.

“Selama 15 tahun menjadi pengedar sah Isuzu, saya dapat melihat banyak perubahan dan kecanggihan teknologi diterapkan dalam kenderaan ini bermula daripada rekaan lama sebelum mampu beralih menjadi rekaan yang moden-ultra dan model yang cekap dengan bahan api seperti hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Majlis Perasmian Bilik Pameran Isuzu milik Jumbo Arena di Taman Kluang Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura dan Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Atsunori Murata.

Ann Siong berkata, baru-baru ini juga Isuzu telah menghantar 80 unit trak pikap Isuzu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan sebahagiannya digunakan oleh penguatkuasanya termasuk Unit Cobra untuk memerangi kes berprofil tinggi dan sebagai langkah pencegahan terhadap tonto.

Katanya, beliau juga turut menjangkakan penjualan kenderaan komersial campuran sebanyak 200 unit setiap tahun di bilik pameran ini dan yakin bilik pameran yang baharu ini mampu mengukuhkan pemasaran produk Isuzu di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Koji berkata, Isuzu amat mementingkan kepuasan pelanggannya dan akan memastikan kualiti kenderaan keluaran mereka berada di kedudukan tinggi dan kakitangannya adalah dari kalangan yang terbaik.

“Kami memenangi anugerah ‘JD Power Sales Satisfaction Index’ pada 2017 dan meraih tempat kedua pada tahun lalu dan kami juga mempunyai Sekolah Latihan Isuzu dalam menghasilkan juruteknik kami yang mahir.

“Penambahan jumlah pusat pameran ini pastinya mampu meningkatkan pengeluaran unit kenderaan khususnya di Johor sekaligus membawa kepada pemanduan terbaik kepada model keluaran Isuzu,” katanya.