Felda Utd bimbang aksi padat undang risiko kecederaan

Mohd Nidzam Jamil
Mohd Nidzam Jamil
A
A
A

MASALAH kecederaan pemain mungkin menghantui setiap pasukan apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung pada September depan.

Ketua Jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil berkata, format separuh liga yang dirancang Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini nyata agak berisiko kepada para pemain.

“Bagi saya untuk tamatkan saingan liga dengan tujuh perlawanan dalam tempoh sebulan mulai 1 September nanti akan menjadikan perlawanan liga agak padat.

“Mungkin tiga hari satu perlawanan dan ia agak berisiko kepada pemain-pemain. Situasi itu lebih mendatangkan impak kepada pasukan yang tidak mempunyai barisan pemain yang 'besar',” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, MFL merancang meneruskan aksi Liga Super serta Liga Premier mulai 1 September depan. Menerusi format itu, liga akan bersambung daripada aksi kelima hingga ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Nidzam berkata, beliau dan pihak pengurusan The Fighters hanya menunggu kebenaran daripada kerajaan untuk kembali memulakan latihan secara berpasukan.

“Kami sudah berbincang tentang prosedur operasi standard (SOP) semua perkara yang boleh kita ambil atau gunakan pada sesi latihan. Cuma kami kena tunggu sehingga dibenarkan berlatih.

“Pihak pengurusan pasukan tidak mahu sesi latihan yang diadakan nanti menjadi kesalahan kerana tidak mendapat kelulusan kerajaan. Lagipun latihan bagi pasukan bola sepak berprofil tinggi agak berbeza berbanding pasukan bola sepak rekreasi kerana ia pasti melibatkan kekangan-kekangan tertentu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: