Makan dalam kedai dibenarkan di Terengganu

Kerajaan Terengganu membenarkan semua premis makanan beroperasi termasuk makan di dalam kedai berkuat kuasa hari ini. - Foto 123RF
Kerajaan Terengganu membenarkan semua premis makanan beroperasi termasuk makan di dalam kedai berkuat kuasa hari ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu membenarkan semua premis makanan beroperasi termasuk makan di dalam kedai berkuat kuasa hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, kesemua premis berkenaan hanya dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan bermula jam 7 pagi hingga 10 malam.

"Bermula hari ini kerajaan negeri memutuskan untuk beri kebenaran kepada premis makanan seperti kedai makan, restoran dan warung untuk beroperasi.

"Ia berkuat kuasa bermula hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua pengusaha premis diwajibkan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kita membenarkan pelanggan makan di dalam kedai tetapi mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti menjaga jarak dan peralatan yang digunakan perlu dibersihkan dengan lebih teliti seperti dinyah kuman dan seumpamanya.

"Pengusaha kedai makan juga perlu hadkan bilangan pelanggan masuk ke dalam kedai masing-masing. Kerjasama ini amat penting supaya tidak berlaku kluster baharu disebabkan jangkitan koronavirus (Covid-19)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengusaha dan pemilik premis diminta mengehadkan bilangan pelanggan masuk ke dalam kedai masing-masing.
Pengusaha dan pemilik premis diminta mengehadkan bilangan pelanggan masuk ke dalam kedai masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap premis-premis yang beroperasi bagi memastikan kesemuanya mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kita akan menasihati mereka yang didapati ingkar terhadap pematuhan SOP dan akan kenakan kompaun sekiranya masih berdegil," katanya.

Alias berkata, beberapa premis lain turut dibenarkan beroperasi seperti klinik swasta, farmasi dan hypermarket yang boleh beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

ALIAS
ALIAS

Bagaimanapun katanya, kedai gunting masih belum boleh dibenarkan beroperasi kerana perkhidmatan itu memerlukan berlaku kontak antara pelanggan dan pekerja.

"Buat masa ini kedai gunting rambut belum boleh dibenarkan lagi sebab ia 'contact person to person'.

"Kita masih menunggu pengumuman rasmi daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perlu tunggu sebarang perkembangan terbaharu pada 9 Jun nanti," katanya.