Ingkar PKPB: Polis tahan 34 individu, 11 kereta sapu disita

Seramai 34 individu ditahan dan 11 kereta sapu di daerah ini disita semalam.
Seramai 34 individu ditahan dan 11 kereta sapu di daerah ini disita semalam.
A
A
A

LAHAD DATU - Seramai 34 individu ditahan dan 11 kereta sapu di daerah ini disita semalam selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah menaiki kenderaan persendirian yang digunakan sebagai kereta sapu dengan pemandu dan penumpang tidak tinggal serumah.

Dalam operasi di Jalan Tengah Nipah bermula jam 7 pagi itu mendapati individu ditahan berumur antara 18 dan 68 tahun kerana melanggar Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 15(1) peraturan yang sama.

"Daripada 34 yang ditahan, 17 individu merupakan warga tempatan membabitkan 10 wanita dan tujuh lelaki dan semua mereka telah dikenakan kompaun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nasri berkata bakinya, membabitkan enam wanita dan 11 lelaki yang merupakan warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. - Bernama

Artikel Berkaitan: