Lima ditahan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah

Anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya.
Anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai lima lelaki ditahan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol di lima lokasi di sekitar Petaling Jaya, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam operasi tersebut, seramai 308 individu dan 279 buah kenderaan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, seramai lima lelaki berusia 41 hingga 49 telah ditahan.

“Operasi bertujuan untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sekali gus membahayakan keselamatan dan boleh menyebabkan kematian kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil tinjauan dalam operasi yang dijalankan itu, ia jelas menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang mengambil minuman keras sebelum memandu atau menunggang motosikal.

“Tindakan ini dilihat membahayakan diri sendiri mahupun pengguna jalan raya lain, kita akan berterusan melaksanakan operasi ini demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Nik Ezanee memaklumkan lima individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut sementara kes disiasat mengikut Seksyen 45 (A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: