X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beradik cedera disengat tebuan, seorang kritikal

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua beradik dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas dipercayai disengat tebuan manakala seorang daripadanya kritikal dalam kejadian di sekitar bukit berhampiran rumah mereka dekat Felda Kerteh 4 di Dungun, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, dan adiknya Muhamad Azib, 6, sedang bermain dengan beberapa kawan serta seorang lagi kakak mereka yang berusia 11 tahun.

Ibu mangsa, Rohayu Mat Lazim, 39, berkata, secara tiba-tiba anak lelakinya meluru masuk ke rumah dalam kesakitan dan bengkak pada bahagian badan dipercayai akibat sengatan tebuan.

"Dia berlari masuk beritahu kakaknya teruk disengat tebuan. Keadaan Nur Nazihah masa itu sangat lemah. Semasa kejadian, suami saya tiada di rumah sebab bekerja, jadi saya bawa kedua-dua mereka ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. Dalam jam 8 malam tadi, anak-anak saya dirujuk pula ke HSNZ," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Rohayu berkata, beliau dan suaminya, Mohd Sabri Mohd Nor, 41, sering mengingatkan anak mereka agar tidak bermain di kawasan itu disebabkan kewujudan sarang tebuan itu baru-baru ini.

"Tidak tahu macam mana petang tadi mereka boleh bermain sampai ke situ. Ketika kejadian, kanak-kanak lain sempat lari tapi Nur Nazihah tersangkut di pagar, jadi dia yang kena sengat paling banyak, hampir 60 sengat.

"Doktor beritahu organ dalaman Nur Nazihah terjejas dan buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, namun adiknya sudah mula menunjukkan perkembangan positif dan keadaannya stabil," katanya sebak.

Rohayu berkata, kejadian itu berlaku sepantas kilat dan tidak menyangka tragedi itu menimpa anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu memandangkan mereka tidak pernah bermain di kawasan tersebut dan berharap kedua-dua anaknya sembuh secepat mungkin. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus