X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maut terkena renjatan elektrik

Gambar hiasan.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di tepi jalan di Taman Usahaniaga di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa berusia 51 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam di tepi jalan dengan hanya berseluar pendek tanpa baju.

Menurutnya, pemeriksaan oleh penolong pegawai perubatan Unit Kecemasan Hospital Bukit Mertajam mendapati kesan melecur pada siku sebelah kanan dipercayai kesan terkena renjatan elektrik.

"Mangsa yang beralamat di Jalan Kilang Ubi, Bukit Mertajam itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri. Dia tidak memakai baju, hanya berseluar pendek paras lutut.

"Siasatan di lokasi mendapati, mangsa berada di tepi bahu Jalan Usahaniaga yang mana, tangan kanannya menyentuh tiang elektrik. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa, tiada sebarang unsur jenayah dikenalpasti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat pada jam 9 pagi tadi mengesahkan punca kematian mangsa adalah kerana renjatan elektrik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus