'Saya dah biasa hidup macam ni'

Abdul Aziz di hadapan kediamannya di Taman Abdul Raof, Parit Buntar.
Abdul Aziz di hadapan kediamannya di Taman Abdul Raof, Parit Buntar.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Hidup sebatang kara tanpa bekalan elektrik di rumah usang dengan tidur beralaskan kerusi malas.

Itu keadaan dilalui seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abdul Aziz Mohd Azmi, 61, di Taman Abdul Raof, Parit Buntar sejak beberapa tahun lalu.

Meskipun tinggal di rumah pusaka arwah ibu bapanya, keadaan kediaman itu tidak ubah seperti 'rumah tinggal' apabila tidak mempunyai pintu dan tingkap, sebahagian bumbung pula telah hilang.

Ketika ditemui, Abdul Aziz berkata, dia sudah lali melalui kehidupan seperti itu kerana tidak mahu menyusahkan orang lain dengan mengharapkan bantuan.

Kerusi malas yang dijadikan tempat tidur.
Kerusi malas yang dijadikan tempat tidur.

"Saya pun bujang, bukan ada anak isteri, jadi tak apa lah hidup macam ni, asalkan ada tempat berteduh pun saya dah bersyukur.

"Setakat tidur atas kerusi, bagi saya itu hanyalah masalah kecil kerana dalam tentera dulu, kita dah hadapi situasi lebih teruk daripada ini," katanya.

Abdul Aziz yang telah 18 tahun berkhidmat dalam ketenteraan dan berhenti pada usia 39 tahun dengan pangkat koperal kini menyara kehidupan dengan mengambil upah menebang pokok, menebas rumput dan membasuh kereta di sekitar pekan Parit Buntar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, upah sekitar RM30 hingga RM50 yang diperoleh itu digunakan untuk membeli keperluan diri dan makan minumnya.

"Duit yang ada cukuplah untuk saya belanja makan minum dan keperluan diri yang lain, untuk baiki rumah, saya tidak berkemampuan," katanya.

Pengarah JHEV ATM Perak, Mejar Hassanuddin Othman menerima borang permohonan bantuan sara hidup daripada Abdul Aziz.
Pengarah JHEV ATM Perak, Mejar Hassanuddin Othman menerima borang permohonan bantuan sara hidup daripada Abdul Aziz.

Keadaan dilalui Abdul Aziz itu mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Perak yang mengadakan lawatan di sini hari ini.

Pengarah JHEV ATM Perak, Mejar Hassanuddin Othman berkata, semakan awal mendapati, Abdul Aziz tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi mendapat bantuan kebajikan disediakan jabatan.

Bagaimanapun menurutnya, individu berkenaan layak untuk menerima bantuan sara hidup RM300 sebulan dan baik pulih rumah yang akan diusahakan menerusi Yayasan Perak dan Baitulmal.

"Mereka mungkin dah biasa dengan kehidupan begini kerana mereka ini tentera tetapi melihat keadaan rumah ini saya sangat sedih.

"Sebagai pengarah, saya rasa bertanggungjawab tentang apa yang berlaku dan sudah tentu kita akan usahakan bantuan sewajarnya dengan kerjasama agensi kerajaan, persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain," katanya.

Beliau menyifatkan situasi dialami Abdul Aziz ini antara kes terlepas pandang daripada menerima bantuan jabatan.

Pengarah JHEV ATM Perak, Mejar Hassanuddin Othman ketika menemui Abdul Aziz di kediamannya hari ini.
Pengarah JHEV ATM Perak, Mejar Hassanuddin Othman ketika menemui Abdul Aziz di kediamannya hari ini.

Katanya, di Perak, terdapat hampir 45,000 bekas tentera dan persatuan-persatuan yang dianggotai bekas tentera ini perlu memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada jabatan.

"Jangan sampai kes menjadi tular kerana pihak yang menularkan berita biasanya tidak memahami masalah sebenar dan ini boleh memberi implikasi besar kepada jabatan sendiri," katanya.

Hadir sama dalam lawatan itu, wakil Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja Perak dan Kelab Veteran Komando Malaysia.