24 ditahan di laluan tikus di Tasek Gelugor

24 individu ditahan selepas didapati merentas negeri tanpa kebenaran. Gambar kanan: Polis SPU sedang memeriksa kenderaan di laluan tikus di Tasek Gelugor sejak 27 Mei lalu.
24 individu ditahan selepas didapati merentas negeri tanpa kebenaran. Gambar kanan: Polis SPU sedang memeriksa kenderaan di laluan tikus di Tasek Gelugor sejak 27 Mei lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan 24 individu di dua laluan tikus di Lorong Tengah Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang menjadi jalan mereka untuk merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mula menjalankan pemeriksaan di laluan tersebut sejak 27 Mei lalu melalui Op Covid-19.

Menurutnya, jalan tersebut mempunyai dua lorong berasingan yang menghubungkan Kedah dan Pulau Pinang dan dilalui penduduk di sempadan kedua-dua negeri untuk merentas negeri tanpa kebenaran.

"Bertindak atas maklumat yang kita peroleh, Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU menemui dua jalan tikus di Lorong Tengah Jalan Kampung Selamat, tiga hari lalu.

"Hasil pemeriksaan sehingga semalam, kita berjaya menahan 24 individu iaitu 21 lelaki, dua wanita dan seorang lelaki warga Vietnam. Kesemua mereka turut dikompaun RM1,000 kerana didapati cuba merentas negeri menggunakan laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan didapati melakukan pergerakan dari Kedah ke Pulau Pinang tanpa surat kebenaran rentas negeri daripada polis.

"Mereka juga mengaku menggunakan jalan tersebut bagi mengelak daripada ditahan polis.

"Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, 46 orang ditahan dan dikompaun di Stesen Keret Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth sejak 23 Mei hingga semalam.