UTC pertama di Pulau Pinang bakal dibuka

Kon Yeow menunjukkan senarai agensi yang akan beroperasi di UTC George Town kelak.
Kon Yeow menunjukkan senarai agensi yang akan beroperasi di UTC George Town kelak.
A
A
A

GEORGETOWN - Pusat Tranformasi Bandar (UTC) pertama di Pulau Pinang yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dijangka beroperasi selewat-lewatnya awal Ogos ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek kerajaan Persekutuan bernilai RM10.38 juta itu sepatutnya siap pada 2 Mac lalu namun dilanjutkan sehingga 25 Jun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum dijangka beroperasi sepenuhnya pada akhir Julai atau awal Ogos.

Menurutnya, sehingga kelmarin, tahap kemajuan kerja adalah sebanyak 96.84 peratus siap

UTC pertama di Pulau Pinang akan mula beroperasi hujung Julai atau awal Ogos ini.
UTC pertama di Pulau Pinang akan mula beroperasi hujung Julai atau awal Ogos ini.

"Kerajaan Pulau Pinang amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memilih Komtar dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai rakan pelaksana untuk projek UTC George Town ini," katanya ketika melawat tapak pemajuan UTC George Town di sini semalam.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Seni, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan Pengurus Besar PDC, Datuk Mohd Bazid Abdul Kahar.

Pusat berkenaan bakal menempatkan 13 agensi iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jobs Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, klinik kesihatan, Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negeri, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia.

Kon Yeow turut berharap pembukaan pusat perkhidmatan awam bersepadu Persekutuan itu bakal merancakkan ekonomi khususnya aktiviti perniagaan lot-lot komersial di Komtar yang merupakan tanda kemajuan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap, ia boleh menjadi pemangkin pada ruang komersial di tingkat dua dan tiga.

"Secara tidak langsung, Komtar akan kembali dikunjungi orang ramai termasuk mereka yang datang ke pejabat kerajaan nanti selain akan mewujudkan impak iaitu menghidupkan semula ruang komersial tersebut," katanya.