Masjid kumpul RM80,000 untuk mangsa kebakaran

Mohd Akmal (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM80,000 kepada Zainuddin hasil kutipan yang dibuat oleh Masjid Ar Rahmaniah dalam masa lima hari.
Mohd Akmal (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM80,000 kepada Zainuddin hasil kutipan yang dibuat oleh Masjid Ar Rahmaniah dalam masa lima hari.
A
A
A

SUNGAI SIPUT (U) - Siapa sangka dalam masa lima hari Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah, di sini, berjaya mengumpulkan RM80,000 dana untuk seorang mangsa kebakaran di dalam kariah masjid tersebut.

Pengerusi Masjid Ar-Rahmaniah, Dr Ahmad Fadhil Mohamad Shahidi berkata, kutipan bagi tabung bantuan tersebut dilancarkan pada 19 Mei bersamaan 26 Ramadan iaitu pada hari kejadian kebakaran tersebut.

Menurutnya, kempen bagi mengutip dana tersebut ditularkan melalui pelbagai platform media sosial dan hasilnya diluar jangka.

"Kita tidak pernah menjangkakan kutipan sebanyak ini yang boleh membina sebuah rumah. Sumbangan itu bukan sahaja diberikan oleh orang Islam malah orang bukan Islam juga.

"Ini semua berkat usaha dan kerjasama semua pihak dan sekaligus membuktikan betapa prihatinnya rakyat Malaysia kepada mereka yang ditimpa kesusahan," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di Felda Lasah, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkfly Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang.

Sementara itu, bagi pemilik rumah, Zainuddin Mohd Noor, 71, sumbangan tersebut amat bererti kepadanya kerana rumah tersebut telah didiami sejak 35 tahun lalu hasil usaha sebagai peneroka Felda.

Dia bagaimanapun reda dengan takdir ALLAH atas apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai satu ujian.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, mencurah-curah rezeki ALLAH bagi. Cuma yang paling saya bersyukur kepada ALLAH ketika kejadian cucu saya tak ada di rumah sebab mereka tinggal di sini empat orang. Kalau pada saat itu ada cucu saya tak tahu nak cakap macam mana.

"Insya-ALLAH, saya akan segerakan pembinaan rumah yang baharu ini dalam masa dua tiga bulan sebab nak bersihkan kawasan ini pun ambil masa juga," katanya.

Sementara itu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia turut memberikan sumbangan kepada Zainudddin masing-masing berjumlah RM7,000 dan RM9,000.

Dalam kejadian 19 Mei lalu, rumah milik Zainuddin musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 4 petang.

Hasrat mereka sekeluarga untuk berkumpul pada hari raya pertama di rumah tersebut turut tidak kesampaian disebabkan kejadian berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu lihat rumah terbakar