'Jangan jadikan sukan nombor satu rakyat Kedah mangsa'

Rata-rata pemain Kedah masih menunggu tunggakan gaji mereka sebelum sambutan Aidilfitri lagi. Foto Ahmad Zaki Osman
Rata-rata pemain Kedah masih menunggu tunggakan gaji mereka sebelum sambutan Aidilfitri lagi. Foto Ahmad Zaki Osman
A
A
A

PEMINAT dan penyokong Kedah mahu kemelut Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berakhir dengan segera kerana mereka tidak berminat dengan pergeseran politik sehingga menyaksikan sukan nombor satu rakyat di negeri Jelapang Padi itu menjadi mangsa.

Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, masalah tunggakan gaji perlu diselesaikan segera kerana rata-rata pemain Lang Merah masih menantikan gaji mereka sebelum sambutan Aidilfitri lagi.

Menurutnya, 25 kelab penyokong Kedah yang bernaung di bawah GULM berharap kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar baharu, Muhammad Sanusi Md Noor dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan segera.

"Saya difahamkan beberapa pemain sedang dalam proses untuk membawa perkara ini kepada pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Ada juga pemain yang sedang dalam proses untuk menamatkan kontrak jika isu gaji ini tidak di selesaikan dengan segera.

"Sebelum Hari Raya Aidilftri lagi pemain-pemain Kedah tunggu gaji mereka. Cukup-cukuplah bermain politik dalam sukan bola sepak, kami sudah muak nak dengar dan lihat apa yang telah terjadi," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Safarizal Mohd Sobri
Mohd Safarizal Mohd Sobri

Katanya, sebelum ini penyokong Lang Merah mendapat laporan pimpinan KFA yang diterajui bekas presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk membayar tunggakan gaji pemain sebelum mereka melepaskan jawatan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, perkara ini dinafikan Muhammad Sanusi dalam sidang medianya dan beliau turut memaklumkan peruntukan baru di peringkat cadangan kerana ia dibuat terlalu hampir dengan perubahan kerajaan negeri ketika itu.

"Kami sendiri benar-benar kecewa kerana sampai sekarang tunggakan gaji masih belum dapat diselesaikan. Kami tidak tahu di mana silapnya. Cukup-cukuplahlah berpolitik. Peminat dan pemain tidak berminat pun dengan politik sebegini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri Kedah memandang serius isu yang sedang dihadapi KFA dan akan berusaha membantu persatuan itu terutamanya dalam soal tunggakan pembayaran gaji barisan pemainnya.