Tun M, 4 pemimpin Bersatu tidak diberi ruang bela diri

Gambar kiri: Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah.
Gambar kiri: Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Merbok menyifatkan pemecatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin parti itu tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan parti.

Ketuanya, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti untuk sesi pendengaran dan bela diri untuk membuktikan perbuatan mereka adalah menyalahi Perlembagaan parti.

Menurutnya, surat itu ditandatangani Setiausaha Kerja Parti Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan jawatannya dalam pengurusan pejabat pula tidak diiktiraf dalam Perlembagaan parti.

"Beliau gagal menyatakan dengan jelas atas arahan siapakah pihak berautoriti memecat ahli dan surat itu dikeluarkan.

"Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Parti Bersatu secara cuai disalah tafsirkan oleh Muhammad Suhaimi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti

Bersatu Simpang Renggam tolak pemecatan Tun M

Artikel Berkaitan:

Katanya, fasal 10.2.2 Perlembagaan parti menyatakan bahawa keahlian parti terhenti apabila ahli mengisytiharkan keluar dari parti manakala fasal 10.2.3 menyatakan keahlian terhenti jika ahli menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain.

Keratan artikel Sinar Harian semalam.
Keratan artikel Sinar Harian semalam.

"Sehingga tarikh surat itu dikeluarkan Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain belum pernah mengisytiharkan keluar dari parti. Maka fasal 10.2.2 tidak boleh digunapakai dalam situasi ini.

"Kedudukan ahli Parlimen di dalam blok pembangkang (sebenarnya kelima-lima ahli Parlimen duduk di blok bebas) dalam Dewan Rakyat adalah perkara berbeza dan tidak boleh dianggap sebagai menyertai sesebuah parti.

"Ini kerana keahlian parti dan keahlian Dewan Rakyat adalah dua perkara berlainan. Maka Fasal 10.2.3 juga tidak terpakai dalam situasi ini," katanya.

Anuar berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengeluarkan sepucuk surat membatalkan surat pemecatan itu termasuk mengambil tindakan tegas ke atas Muhammad Suhaimi kerana mencemarkan imej parti dengan melakukan penyalahgunaan kuasa.

"Kami juga akan sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu dan Datuk Seri Mukhriz sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah," katanya.

Semalam, media melaporkan lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Tun Mahathir Mohamad dipecat daripada parti itu serta-merta hari ini.

Turut dipecat Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka turut membantah pemecatan berkenaan dan mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang parti selain hak mereka untuk membela diri dinafikan.