Tun M pecat Suhaimi, lantik Setiusaha Kerja baharu

Dr Mahathir pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.
Dr Mahathir pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau masih lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Setiausaha Kerjanya, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya serta-merta hari ini.

Beliau berkata, jawatan itu kini digantikan oleh Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Katanya, beliau sebelum ini mahu berjumpa dengan Muhammad Suhaimi selepas dipecat bersama empat lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semalam namun bekas Setiausaha Kerjanya itu enggan bertemu.

"Saya hendak jumpa Setiausaha Kerja, saya hendak jumpa apakah kuasa dia. Entah macam mana dia kata tidak mahu jumpa saya. Maka setiausaha kerja sudah melangkau parti.

“Maka saya lucutkan keanggotaan Suhaimi. Beliau tidak ada hak untuk buat apa-apa kerja atas nama parti dan tidak ada hak untuk menulis surat menggunakan logo Bersatu lagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti

Pada masa sama, Dr Mahathir turut menegaskan Setiausaha Agung Bersatu masih dipegang oleh Datuk Marzuki Yahya dan bukan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Saya mahu jelaskan Marzuki ialah Setiausaha Agung Bersatu. Dalam perlembagaan menyatakan sebarang perlucutan jawatan perlu dicadangkan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Muhyiddin juga perlu berunding dengan saya.

“Tetapi beliau (Muhyiddin) bukan sahaja tidak berunding tetapi membuat keputusan sendiri. Sepatutnya berunding dengan saya," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Hamzah langsung tidak ada hak sama sekali untuk memegang jawatan dalam parti mengambil kira pemimpin itu adalah dari UMNO.

"Ahli UMNO yang masuk dalam parti perlu melalui proses. Pertamanya keluar dari UMNO, buat permohonan masuk dalam Bersatu dan perlu mendapat persetujuan kita untuk melantiknya sebagai ahli biasa.

"Ahli biasa dari UMNO tidak boleh memegang jawatan. Jika dilantik sebagai Setiausaha maka itu salah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tun M dakwa pemecatan beliau, 4 pemimpin Bersatu tidak sah