X

Kindly register in order to view this article
!

10 individu terlibat aktiviti pelacuran ditahan

Dua wanita ditahan dalam serbuan di sebuah pusat urut.
A
A

PETALING JAYA – Seramai 10 individu termasuk tiga lelaki yang terlibat aktiviti pelacuran ditahan secara berasingan dalam Op Noda di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan dua wanita warga asing pada jam 4.30 petang di sebuah pusat urut di Dataran Pelangi Utama, Kampung Sungai Kayu Ara di sini.

“Dua wanita berusia 18 dan 31 tahun itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis berkenaan apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun kita berjaya memberkas mereka.

“Hasil pemeriksaan kita menemui pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran seperti tiub pelincir dan 63 keping kondom yang belum digunakan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan lima wanita dan tiga lelaki dalam serbuan pada jam 10 malam di sebuah premis di Damansara Utama di sini.

“Siasatan mendapati tiga lelaki itu merupakan warga tempatan, salah seorang daripada mereka bekerja sebagai penjaga premis, manakala dua lelaki lagi adalah pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, lima wanita warga asing itu cuba bersembunyi di dalam sebuah bilik di premis berkenaan ketika serbuan dijalankan.

“Kita juga menjumpai pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran. Kesemua individu yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 47 tahun,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus