10 Bahagian Bersatu Johor sokong pecat Tun M

Md Nasir (tengah) menunjukkan buku Perlembagaan Bersatu selepas mengadakan sidang akhbar berkenaan pemecatan Tun Dr Mahathir dan empat pemimpin parti itu di Pejabat Bersatu Bahagian Johor Bahru, Larkin, Johor Bahru hari ini.
Md Nasir (tengah) menunjukkan buku Perlembagaan Bersatu selepas mengadakan sidang akhbar berkenaan pemecatan Tun Dr Mahathir dan empat pemimpin parti itu di Pejabat Bersatu Bahagian Johor Bahru, Larkin, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - 10 daripada 26 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor menyokong keputusan pemecatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim memaklumkan, beliau sudah menghubungi 10 ketua bahagian parti tersebut pagi tadi dan mereka sudah pun menyatakan pendirian menyokong keputusan tersebut.

Beliau berkata, 16 lagi ketua bahagian akan dihubungi dan yakin kesemua mereka akan memberikan sokongan pemecatan kelima-lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tersebut.

"Ini kerana pengguguran keahlian mereka mengikut buku menerusi 10.2.3 Perlembagaan Bersatu. Semua ketua bahagian sebelum ini juga menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Semalam Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Bersatu, Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dipecat keahlian daripada parti itu.

Kelima-lima mereka dipecat atas alasan duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dan tidak duduk di bangku blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri yang juga Presiden serta Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Md Nasir berkata, pihaknya juga akan membincangkan perkembangan tersebut dalam satu mesyuarat khas bersama-sama semua ketua bahagian selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang.

Mengenai keretakan hubungan Bersatu dan UMNO yang masih berlarutan ketika ini, beliau berkata, perbincangan pemimpin kedua-dua parti itu yang melibatkan Muhyiddin; Menteri Besar Johor, Datuk Ir Mohamad Hasni dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilakukan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua isu yang dibangkitkan kedua-dua pihak memerlukan masa dan akan diselesaikan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Zais Mohd Akil meminta semua ahli Bersatu di negeri ini terus menyokong kepimpinan Muhyiddin kerana Perdana Menteri sedang berdepan situasi sukar berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Semua pihak dan semua parti mesti beri sokongan penuh kepada Perdana Menteri supaya kita dapat mentadbir negara lebih baik daripada sebelum ini dan bersaing dengan negara maju," katanya.