Bersatu Simpang Renggam tolak pemecatan Tun M

Laporan Sinar Harian semalam berhubung pemecatan lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Laporan Sinar Harian semalam berhubung pemecatan lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Simpang Renggam menolak sekeras-kerasnya pemecatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Bersatu yang lain apabila dianggap tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Ketua Penerangan Bersatu bahagian itu, Mahmood Kassim yang melahirkan dukacita terhadap perkembangan tersebut berkata, ini kerana surat pemecatan tersebut hanya ditandatangani Setiausaha Kerja Parti Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

"Ini hanyalah jawatan dalam pengurusan pejabat yang tidak diiktiraf dalam perlembagaan parti. Beliau juga gagal menyatakan dengan jelas atas arahan siapakah pihak berautoriti memecat ahli, surat itu dikeluarkan.

"Selain itu mereka juga tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti untuk sesi pendengaran dan bela diri bagi membuktikan perbuatan mereka adalah menyalahi perlembagaan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dipecat keahlian daripada parti itu.

Kelima-lima mereka yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dipecat atas alasan duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dan tidak duduk di bangku blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri yang juga Presiden serta Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti

Mahmood mendakwa, pemecatan mereka juga tidak mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu malah secara cuai disalahtafsirkan oleh Muhammad Suhaimi yang menyatakan bahawa keahlian parti terhenti apabila ahli mengisytiharkan keluar dari parti.

Artikel Berkaitan:

"Fasal 10.2.3 menyatakan keahlian terhenti jika ahli menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik. Sehingga tarikh surat itu dikeluarkan Tun Mahathir dan pemimpin lain belum pernah mengisytiharkan keluar dari parti. Maka Fasal 10.2.2 tidak boleh diguna pakai dalam situasi ini.

"Kedudukan ahli Parlimen dalam blok pembangkang iaitu kelima-lima ahli Parlimen itu duduk di blok bebas dalam Dewan Rakyat adalah perkara berbeza dan tidak boleh dianggap sebagai menyertai sesebuah parti. Ini kerana keahlian parti dan keahlian Dewan Rakyat adalah dua perkara berlainan. Maka Fasal 10.2.3 juga tidak terpakai dalam situasi ini," ujarnya.

Justeru katanya, demi menjaga maruah parti, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu perlu mengeluarkan sepucuk surat membatalkan surat pemecatan itu.

Pihaknya juga meminta Muhyiddin mengambil tindakan tegas atas kecuaian Muhammad Suhaimi sebagai Setiausaha Kerja Parti Bersatu yang telah mencemarkan imej parti dengan melakukan penyalahgunaan kuasa.