ADUN Kampung Tunku lapor polis kes gangguan seksual

Lim Yi Wei (tiga kanan) bersama wanita DAP Selangor membuat laporan polis berhubung kes gangguan seksual.
Lim Yi Wei (tiga kanan) bersama wanita DAP Selangor membuat laporan polis berhubung kes gangguan seksual.
A
A
A

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei hari ini membuat laporan polis berhubung kes gangguan seksual terhadap dirinya.

Yi Wei yang hadir bersama Wanita DAP Selangor berkata, beliau menjadi subjek gangguan seksual itu pada laman sosial ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, baru-baru ini.

“Saya berharap isu gangguan seksual dan buli siber sepatutnya dipandang berat oleh kerajaan tanpa mengira sama ada mangsa terdiri daripada orang awam atau wakil rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan sebanyak 18.5 peratus daripada kes aduan gangguan seksual telah diterima oleh ‘All Women’s Action Society’ (Awam) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 41.7 peratus kes gangguan seksual dilaporkan berlaku secara dalam talian,” katanya.

Yi Wei turut menyeru rakyat Malaysia yang mahu ruangan maya lebih selamat untuk diri sendiri dan anak-anak supaya menggesa kerajaan Perikatan Nasional membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual pada sidang Parlimen Julai ini.

“Saya berterima kasih atas sokongan pemimpin Pakatan Harapan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memandang serius isu ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memaklumkan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, lelaki berkenaan juga terlibat dalam siasatan berhubung laporan polis oleh Siaw Ting yang tidak berpuas hati berhubung gambar dan namanya digunakan oleh individu di Facebook untuk melakukan kesalahan jenayah pada 21 April lalu

“Lelaki itu juga memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan masih menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital sejak 2016.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 509, 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.