Tiada individu lebih besar daripada parti: Armada Bersatu Perak

Mohd Hafez Mubin
Mohd Hafez Mubin
A
A
A

IPOH - Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa tiada individu yang lebih besar dan penting daripada parti mereka.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, pemecatan lima pemimpin parti seperti diumumkan semalam merupakan satu cabaran politik yang besar terhadap Bersatu.

Menurutnya, keadaan itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan ahli parti termasuk sayap Armada sendiri.

"Kita perlu sentiasa sedar dan memahami hakikat bahawa tidak ada individu yang lebih besar dan penting daripada keutamaan parti itu sendiri. Ini asas yang mesti dihormati dan difahami dengan jelas.

"Kita menyayangi pemimpin, namun bila pemimpin tidak menyayangi parti, kita meletakkan parti lebih utama dan menjadi prioriti," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pemecatan lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad daripada parti itu serta-merta semalam.

Berdasarkan surat pemecatan yang dikeluarkan parti itu, selain Dr Mahatir yang juga bekas pengerusi Bersatu, turut dipecat ialah Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tiga pemimpin lain yang dipecat keahlian ialah Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti

Sementara itu, Mohd Hafez Mubin berkata, keputusan yang dibuat parti mesti dilihat melalui perspektif yang betul dan tepat kerana ia terkait soal disiplin serta peraturan yang jelas.

Menurutnya, kepimpinan dan seluruh anggota parti khususnya Armada perlu untuk melihat situasi ini sebagai satu lagi cabaran politik dalaman.

Jelasnya, sudah sampai masanya semua pemimpin merapatkan saf dan menegakkan disiplin parti serta menganggap apa yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

"Dalam masa sama, kita wajar mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas jasa bakti, pengorbanan mereka kepada Bersatu selama ini.

"Jasa Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee dan Datuk Amiruddin akan tersemat kemas di dalam lipatan sejarah Bersatu," katanya yang juga Pengerusi Tetap Armada Bersatu Pusat.