Al-Quran Multazam bil Hadis B4 lebih besar, kandungan padat

Nurul Farehah, Al-Quran Multazam bil Hadis bersaiz 257 x 364 mm(B4).
Nurul Farehah, Al-Quran Multazam bil Hadis bersaiz 257 x 364 mm(B4).
A
A
A

SHAH ALAM - Al-Quran terbaharu Karya Bestari, Al-Quran Multazam bil Hadis bersaiz 257 x 364 mm (B4) tampil dengan penambahan ciri-ciri baharu sebagai versi terjemahan yang lebih besar serta kandungan lebih padat.

Eksekutif Pemasaran Digital, Nurul Farehah Mohd Lokman berkata, Al-Quran Multazam B4 dilengkapi dengan tafsir berasaskan hadis-hadis sahih dan menjadi pilihan tepat bagi pengguna yang menggemari pembacaan terjemahan yang besar dan jelas.

“Keistimewaannya, ini pertama kali dikeluarkan versi al-Quran terjemahan yang besar.

“Sebelum ini kita ada Al-Quran Mushaf Al-Imam, di mana ia salah satu ‘best seller’ (paling laris) kami untuk golongan berusia.

“Namun, Al-Imam ini tidak ada terjemahan, jadi ramai yang mencari Al-Quran yang ada terjemahan. Disini lah datangnya Multazam B4 yang mana ia ada terjemahan dan bersaiz besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, Multazam B4 akan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 pada 26 Mei tahun ini sempena 10 tahun penerbitan Al Quran Karya Bestari.

Menurutnya, Al-Quran Multazam B4 yang dijual dengan harga RM120 itu sememangnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli dan turut hadir dalam pelbagai saiz untuk pembaca.

“Setakat ini kita belum ada lagi terjemahan Al-Quran yang bersaiz besar. Kalau ada pun, hanya saiz A4 sahaja yang paling besar.

“Tafsir bil Hadis (dalam Multazam B4) itu maksudnya setiap halaman, ia ada ayat-ayat pilihan yang dipilih dan di bawah pula akan dikupas hadis-hadis berkaitan dengan ayat tersebut.

“Contohnya jika ayat itu menceritakan tentang topik khusyuk dalam solat, hadis dengan topik yang sama akan dikupas di bawah,”ujarnya.

Orang ramai juga boleh mendapatkan Al-Quran Multazam B4 dengan tawaran harga promosi iaitu RM102 di laman rasmi Karangkraf Mall.

Selain itu, Al-Quran Multazam turut hadir dengan saiz yang berlainan termasuk A6, A5, B5, dan A4.