PRU solusi terbaik atasi kemelut

Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang berlangsung pada 18 Mei lalu.
Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang berlangsung pada 18 Mei lalu.
A
A
A

AWAL bulan ini, Malaysia digemparkan dengan berita Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang persidangan Parlimen lalu.

Di sebalik langkah yang dikecam majoriti rakyat pada saat negara berdepan cabaran pandemik koronavirus (Covid-19), usul bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu secara tidak langsung membuka kembali persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai angka mencukupi untuk kekal mentadbir negara.

Tanda tanya itu diperkuatkan lagi dengan kedudukan kerusi kerajaan di Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu apabila jumlah kerusi ahli Parlimen membentuk kerajaan PN hanyalah 113 kerusi, satu kerusi melebihi angka minimum membentuk kerajaan iaitu sebanyak 112 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Tidak terhenti setakat itu, blok pembangkang turut mempertikaikan kedudukan 113 kerusi ahli Parlimen menyokong kerajaan PN apabila kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada DAP, Nga Kor Ming masih disusun di blok kerajaan, manakala Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Semalam, kerajaan PN dikejutkan dengan spekulasi bahawa PH sudah mempunyai jumlah angka sokongan ahli Parlimen yang kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil ketika dihubungi Sinar Harian tidak menafikan spekulasi berkenaan, bagaimanapun persoalan bilakah pengambilalihan kerajaan akan dilakukan terpulang kepada pucuk kepimpinan PH.

“Saya rasa dari satu sudut, pohon tidak akan bergoyang kalau tiada angin tetapi (soal) bila pengambilalihan akan berlaku terpulang kepada pucuk kepimpinan (PH) dan kami di bawah akan sentiasa mengikut arahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri atas: Fahmi Fadzil dan Dr Rais Hussin
Dari kiri bawah: Hamidah Osman dan Ronnie Liu
Dari kiri atas: Fahmi Fadzil dan Dr Rais Hussin Dari kiri bawah: Hamidah Osman dan Ronnie Liu

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada angka sokongan ahli Parlimen kepada PH itu merujuk kepada sokongan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kesembilan atau Dr Mahathir sendiri.

Selain itu, beliau juga bertindak menutup mulut mengenai jumlah angka sebenar sokongan ahli Parlimen yang diterima PH ketika ini.

“Sama ada angka sokongan memihak kepada Anwar atau Dr Mahathir sekalipun, situasi kedua-dua keadaan jelas menunjukkan Muhyiddin tidak mempunyai angka sokongan yang mencukupi.

“Keadaan semakin sulit buat mereka yang telah mengkhianati mandat rakyat. Saya ada dengar ada yang telah berpaling tadah dan ada yang insaf.

“Dalam Wacana Sinar Harian sebelum ini, saya pernah kata mungkin (tempoh mengambil alih kerajaan) mengambil masa dua bulan, paling lambat mungkin dua tahun atau berkemungkinan dua minggu sahaja. Kita tunggu dan lihat,” kata beliau.

Berkecuali

Di sebalik keyakinan Fahmi itu, spekulasi PH mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat bagaimanapun ditolak mentah-mentah oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.

Lebih menarik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu mendedahkan, kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang sebenarnya langsung tidak mempunyai angka sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi pihak masing-masing.

“Situasi sebenarnya berlaku di Dewan Rakyat adalah lebih separuh ahli Parlimen membuat keputusan tidak memilih mana-mana pihak dan mereka tidak boleh dipaksa.

“Pemimpin yang berpengaruh seperti Ahli Parlimen Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) dan Ahli Parlimen Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah) mempunyai pendirian tersendiri dan mereka pastinya tidak boleh dibeli dengan hanya jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Justeru, spekulasi perubahan kerajaan ini saya anggap sebagai satu taktik perang psikologi sahaja,” kata Ronnie.

Sentimen sama turut disokong Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang menganggap spekulasi itu diada-adakan untuk melemahkan pentadbiran kerajaan PN ketika ini.

Spekulasi

Menurutnya, sekiranya tuntutan melalui akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen berterusan dijadikan modal untuk mendapatkan kuasa pentadbiran kerajaan, ia akan menjadi satu masalah tidak berkesudahan yang akhirnya memberi implikasi negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Bagi saya, pada saat negara berdepan cabaran ekonomi terbesar susulan Covid-19, ahli Parlimen wajarlah menggembleng tenaga bagi memastikan tadbir urus negara berjalan dengan lancar.

“Adakah perlu ahli politik mengeruhkan keadaan pada saat genting untuk membuat andaian psy-war? Sebagai seorang ahli politik yang bertanggungjawab, mereka perlu meletakkan aspek kestabilan politik sebagai asas utama dalam menangani permasalahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, sudah tiba masanya Muhyiddin menerima hakikat bahawa kerajaan pimpinan beliau tidak stabil dan rapuh pada ketika ini.

Menurutnya, spekulasi terbaharu itu juga membuktikan ketidakstabilan kerajaan PN perlu diselesaikan menerusi pembubaran Parlimen, disusuli langkah mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat.

“Kalau spekulasi mendakwa PH ada numbers, itu mungkin strategi politik yang dimainkan mereka tetapi secara asasnya, jika kita tengok keadaan Dewan Rakyat ketika ini, kerajaan PN memang kerajaan tidak stabil dan bila-bila masa boleh runtuh.

“Dalam kita hendak menghadapi masalah besar disebabkan Covid-19, negara perlu ada satu kerajaan yang kuat dan stabil, namun kerajaan PN tidak ada keupayaan itu kerana berterusan memiliki majoriti sokongan tipis,” katanya.

Bekas Naib Presiden Bersatu itu turut menganggap Muhyiddin gagal menggunakan kesempatan masa diberikan selama tiga bulan ini untuk mengumpulkan kekuatan demi mengukuhkan kerajaan PN.