Ketua Menteri Melaka sangkal dakwaan pecat Idris

Sulaiman
Sulaiman
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menyangkal dakwaan akan memecat seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Sulaiman berkata, desas-desus yang tular di media sosial itu merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan cemburu dengan hubungan yang erat dalam kalangan kepimpinan negeri Perikatan Nasional.

"Perkara ini tidak pernah terlintas dalam fikiran saya dan mengarut malah menunjukkan mereka telah kehabisan modal.

"Jangan asyik berpolitik, rakyat telah muak dan lebih baik fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negeri serta wabak Koronavirus (Covid-19)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, sewajarnya pihak terbabit belajar daripada kerajaan terdahulu yang ditolak rakyat akibat asyik berpolitik.

"Adalah lebih baik kita bekerjasama membina dan memacu Melaka ke arah lebih baik," katanya.

Beberapa jam lalu, tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp mengenai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron akan dipecat daripada jawatannya itu kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri serta Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohd Ali Mohamad sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Artikel Berkaitan: