Portfolio 10 Exco Perak dimuktamad dengan pindaan kecil

Senarai portfolio Exco Perak.
Senarai portfolio Exco Perak.
A
A
A

IPOH - Portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak telah dimuktamadkan hari ini dengan beberapa penstrukturan kecil.

Penstrukturan kecil itu melibatkan pemindahan portfolio pengangkutan awam yang sebelum ini dipegang Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan portfolio infrastruktur oleh Datuk Abdul Yunus Jamahri dengan pengagihan kepada tiga ahli MMK baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua portfolio itu diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang mengangkat sumpah jawatan selaku Exco Perak pada 12 Mei lalu.

Menurutnya, Mohd Zolkafly memegang portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam.

"Dua lagi ahli MMK baharu iaitu ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed memegang portfolio Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia manakala ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud sebagai Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

"Bertepatan dengan fokus pentadbiran kerajaan negeri untuk memperkasa sektor pertanian dan menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara, portfolio Abdul Yunus diperluaskan kepada Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan," katanya.

Beliau melahirkan keyakinan barisan MMK yang dilantik itu mampu menggerakkan usaha membina semula ekonomi negeri susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Dengan ini, senarai barisan MMK Negeri Perak dengan portfolio masing-masing telah lengkap sepenuhnya, saya percaya barisan ini adalah pasukan dinamik serta komited untuk bersama membina semula ekonomi negeri," katanya.

Artikel Berkaitan: