Kembalikan mandat kerajaan bukan pertarungan elit rebut kuasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha Pakatan Harapan (PH) mengembalikan mandat rakyat dengan mengambil alih pentadbiran kerajaan bukan satu pertarungan kalangan elit politik untuk merebut kuasa.

Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul sebaliknya menegaskan inisiatif itu adalah usaha membawa agenda reformasi sebenar yang mengutamakan kepedulian rakyat.

Menurutnya, satu pertemuan secara dalam talian telah diadakan dalam kalangan 39 ahli Parlimen PKR hari ini bagi mengukuhkan sokongan kepada PH susulan mandat rakyat telah diberi kepada PH dengan jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Pada masa yang sama, kami turut mengambil maklum bahawa proses rundingan dan perbincangan dengan semua pihak masih berterusan, demi mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya pada kadar segera.

"Sebarang peralihan kuasa perlu berlaku sepertimana dijanjikan, berjalan dengan tertib dan aman serta mengikut lunas undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata, ahli-ahli Parlimen PKR dalam pertemuan itu turut menekankan keperluan bermuhasabah dan meneliti usaha selama ini untuk menepati janji-janji yang dibuat serta mengelak daripada mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah berlaku.

"Selain itu, ahli-ahli Parlimen PKR juga diingatkan agar menitikberatkan kebajikan rakyat terutama yang terkesan akibat wabak koronavirus (Covid-19) termasuk yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan,di mana usaha menyeluruh diperlukan," katanya.

Semalam, blogger PH, Shahbudin Husin melalui Facebooknya mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan bagi menggantikan Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan:

Shahbudin berkata, PH kini mempunyai sokongan 129 ahli Parlimen dan mereka akan memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi mempersembahkan jumlah sokongan dengan Anwar kekal sebagai bakal Perdana Menteri.

Spekulasi itu bagaimanapun dipertikai Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempersoalkan dari mana datangnya angka (sokongan ahli Parlimen) sebanyak 129 orang kepada PH.