Sebak terima faedah Perkeso arwah suami

Awang (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 kepada Norhafizah di rumah mereka di sini hari ini.
Awang (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 kepada Norhafizah di rumah mereka di sini hari ini.
A
A
A

CHANGLUN - Seorang balu menyifatkan kehadiran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke rumahnya sebagai memberi semangat baharu kepadanya sekeluarga untuk menjalani kehidupan bersama dua anaknya selepas kematian suami tersayang akibat kemalangan pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Norhafizah Mohd Aziz, 40, dilihat sebak dan terharu selepas menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim di rumah mereka di sini hari ini.

Sebagai suri rumah katanya, beliau tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kedua-dua anaknya Bilal Jasni, 15, dan Madihah Jasni, 13, selepas kehilangan suami Allahyarham Jasni Abdul Aziz, 45.

"Setidak-tidaknya pencen bulanan yang diterima itu dapat meringankan beban kami sekeluarga dan menjamin masa depan anak-anak agar menjadi anak yang soleh dan solehah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titi Kerbau di sini hari ini.

Sementara itu, Awang berkata, Allahyarham Jasni merupakan polis bantuan yang bekerja di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan merupakan seorang pencarum aktif Perkeso.

"Kemalangan yang menimpa arwah disiasat mengikut Seksyen 24 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan disahkan sebagai Bencana Kerja.

"Oleh itu, balu arwah layak menerima RM2,000 untuk Faedah Pengurusan Jenazah serta akan menerima Faedah Orang Tanggungan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat dan kepada anak-anak sehingga mereka berumur 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama," katanya.

Beliau turut menyeru majikan di luar sana agar melaporkan kepada Perkeso sekiranya terdapat pekerja mereka yang mengalami kemalangan ketika bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi meringankan beban keluarga yang ditinggalkan terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah," katanya.

Turut hadir, Exco kerajaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad dan Pengarah Perkeso negeri Kedah, Shaharuddin Waled.