'Sejarah negara perlu disusun semula'

Tuan Ibrahim ketika berucap dalam majlis Perasmian Penutup Seminar Sejarah Pas, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHUKRI MOHAMAD
Tuan Ibrahim ketika berucap dalam majlis Perasmian Penutup Seminar Sejarah Pas, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHUKRI MOHAMAD
A
A
A

GOMBAK - Sejarah negara pernah penuh dengan pembohongan, penafian dan pendustaan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kata Tuan Ibrahim, tokoh seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah pernah dilabel sebagai pengkhianat kerana sejarah berkenaan ditulis oleh Inggeris.

Begitupun, selepas merdeka, kajian semula sejarah telah dibuat dan akhirnya tokoh-tokoh itu dilabel sebagai pejuang.

“Maka yang menilai fakta sejarah adalah siapa yang menulis sejarah tersebut. Jadi, perlu disusun semula sejarah.

“Setiap tahun kita meraikan kemerdekaan negara. Tokoh yang muncul dalam kalangan rakyat adalah tokoh yang bukan pejuang-pejuang.

“Nama Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Dol Said hilang dalam fakta sejarah kerana sejarah cuba diangkat golongan yang dianggap hero pada waktu itu,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Penutup Seminar Sejarah Pas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berharap koleksi bahan sejarah Pas perlu diperbanyakkan pada masa akan datang.

Menurutnya, setiap peristiwa yang berlaku ada sejarahnya dan setiap perkara dialami mempunyai implikasi politik dan agama di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan berusaha supaya sejarah-sejarah Pas disusun, digubal supaya menjadi salah satu subjek khususnya dalam institusi pendidikan tinggi kita,” ujarnya.

Seminar Sejarah Pas yang pertama kali dianjurkan bertujuan menceritakan sejarah parti tersebut kepada ahlinya dan orang awam.

Antara tokoh yang menjadi panel dalam program itu adalah bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Veteran Pas, Subky Abdul Latif.