LPA Sungai Selisik dihenti tugas susulan tumpahan diesel

Kenyataan media oleh LUAS berhubung insiden itu.
Kenyataan media oleh LUAS berhubung insiden itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Selisik terpaksa dihenti tugas pada jam 11.45 malam semalam susulan insiden tumpahan minyak diesel membabitkan kemalangan lori tangki di KM389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

Menerusi satu kenyataan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, kemalangan itu menyebabkan tangki muatan lori berkenaan pecah dan sisa minyak diesel turut mengalir ke kawasan lebuh raya sehingga ke Sungai Siah, Perak.

Berikutan itu, LUAS berkata, pihaknya mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LPA Sungai Selisik dengan jarak 2.7 km di bahagian hilir.

"LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang oil-boom di kawasan aliran yang terjejas bagi mengawal baki aliran minyak daripada mengalir ke Sungai Bernam," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, LUAS berkata, siasatan menyeluruh dan ujian pensampelan juga telah dijalankan oleh pihaknya bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bermula dari kawasan ladang kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian sehingga ke kawasan Sungai Kelawar dan Sungai Bernam.

Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak juga telah melantik kontraktor bagi melakukan kerja penyedutan baki sisa minyak berhampiran lebuh raya berkenaan.

"Bagaimanapun, kerja-kerja penyedutan baki sisa minyak itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu sekitar jam 4.50 pagi berikutan keadaan kawasan yang gelap dan sukar," katanya.

Jelasnya, LUAS, JAS Perak dan PLUS akan memantau dan melaksanakan tindakan susulan terhadap kerja-kerja penyedutan baki sisa minyak tersebut.

Artikel Berkaitan: