X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa pelik tiga beradik dikhuatiri lemas minta dipeluk

Gambar kenangan Mohd bersama tiga anak lelakinya yang mengenakan baju Melayu warna ungu di pagi raya Ahad lalu. - Foto pembaca
A
A

HULU TERENGGANU - Bapa kepada tiga beradik dikhuatiri lemas tidak menyangka permintaan anak-anaknya supaya dibelikan baju Melayu setiap seorang untuk dipakai pada hari raya adalah permintaan terakhir sebelum ketiga-tiganya hilang dihanyutkan arus di muara Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong di sini semalam.

Mohd Ismail, 64, yang juga seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, dia juga turut berasa pelik apabila anak-anaknya memintanya memeluk mereka ketika kesemua mereka yang memakai baju sedondon berwarna ungu bergambar pada pagi Syawal.

"Pada mulanya saya tidak menganggap permintaan itu suatu yang pelik kerana hubungan kami memang akrab tetapi sedikit janggal mereka minta saya peluk.

"Cuma saya tidak sangka yang saya kehilangan mereka bertiga dalam sekelip mata sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Mohd berkata, beliau yang ketika itu sedang membersihkan kawasan di sekitar masjid hanya mengetahui kejadian menimpa anak-anaknya kira-kira jam 7 malam selepas dimaklumkan anak saudaranya yang meminta segera pulang ke rumah.

Beliau berkata, sebelum ke masjid, tiga anaknya sedang membersihkan rumah sebelum didatangi sepupu mereka yang membawa lemang.

"Pada awalnya, semasa anak saudara datang meminta balik segera, saya sangkakan ada orang curi kelapa lagi kerana kejadian itu kerap berlaku tetapi saya dibawa ke tebing sungai dan ditunjukkan pakaian, selipar serta telefon bimbit anak-anak.

"Luluhnya hati saya ketika itu kerana sudah mengagak apa yang menimpa kepada ketiga-tiga anak saya walaupun tahu sebelum ini mereka memang jarang mandi di sungai berkenaan meskipun jarak dari rumah kami sangat dekat," katanya dalam nada sebak.

Bagaimanapun, beliau reda dengan kejadian itu dan berharap ketiga-tiga anaknya segera ditemukan serta operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tiga beradik berusia antara 16 hingga 21 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di muara Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, ketiga-tiga remaja berkenaan, Khalif Naim, 16; Khairil Firdaus, 17 dan Umar Iskandar, 21, dipercayai mandi di lokasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik dikhuatiri lemas di muara sungai Kuala Telemong

Tiga beradik lemas: Operasi SAR diperluas


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus