Baju Melayu sudah hilang identiti

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

RAYA tahun ini, Merak Jalanan berasa kecewa dan amat terkilan. Bukan kerana tidak dapat pulang beraya di kampung kerana tuntutan tugas, tetapi berasa tidak senang melihat persalinan baju Melayu yang semakin hilang identiti.

Anak muda hari ini termasuk selebriti murahan gagal memahami estetika baju Melayu yang memiliki rohnya yang tersendiri.

Rekaan baju Melayu seharusnya mengangkat jati diri bangsa Melayu dan satu bentuk penghormatan kerana ia dekat dengan falsafah luhur baik budaya atau agama.

Namun sejak kebelakangan ini, Merak Jalanan menyedari pengubahsuaian baju Melayu dari segi rekaan dan penggayaan terlalu ‘ekstrem’ dan ia menjadi bahan bualan serta tular dalam kalangan masyarakat sekarang.

Misalnya, baju Melayu yang dipakai seorang usahawan kosmetik yang juga selebriti media sosial dalam klip video lagu rayanya baru-baru ini.

Imej baju Melayu yang merupakan lambang peradaban bangsa dan berkait dengan rukun Islam, tauhid dan maruah seolah-olah telah dirosakkan oleh selebriti berkenaan disebabkan rekaannya yang ketat dan sendat. Pada 1 Syawal lalu, Merak Jalanan menyedari ada beberapa pemuda yang tidak bersongkok cuba menggayakan baju Melayu ala 'Oppa Korea' dengan seluar potongan 'cropped pants' digayakan dengan kasut kulit.

Gaya berkenaan umpama melanggar peraturan serta memperlekeh baju Melayu itu sendiri.

Apa pun, Merak Jalanan ingin berpesan, adab berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok merupakan identiti yang perlu sentiasa dipupuk dalam kalangan generasi muda yang merupakan penyambung warisan bangsa.

Janganlah kita menjadi penyebab kepada kepupusan busana tradisi kerana baju Melayu adalah aset penting yang patut dibanggakan dan terus dipertahankan.