‘Saya peluk, cium baju Melayu Damin untuk ubat rindu’

Hizanawati menunjukkan baju Melayu kegemaran anaknya kepada Mohammad Aliff yang baru-baru ini menziarahinya. (Gambar kecil: Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol)
Hizanawati menunjukkan baju Melayu kegemaran anaknya kepada Mohammad Aliff yang baru-baru ini menziarahinya. (Gambar kecil: Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol)
A
A
A

PUNCAK ALAM - “Aidilfitri tahun ini tiada apa yang dapat mengubat rasa rindu saya kepadanya selain dapat memeluk dan mencium baju Melayu yang pernah dipakai anak saya pada lebaran yang lalu.”

Demikian luah seorang ibu, Hizanawati Abu Bakar, 48, tatkala mengenang pemergian anaknya yang meninggal dunia pada Ogos tahun lepas.

Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, atau nama timangannya, Damin maut dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini.

Hizanawati berkata, Aidilfitri kali ini terasa kosong tatkala tiada arwah di sisi.

“Damin seorang anak yang sangat ceria dan rajin membantu kalau saya nak minta tolong apa-apa, terutamanya berkaitan persiapan raya, dialah yang rajin tukarkan langsir dan kemas rumah,” katanya.

Dia berkata demikian kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Mohammad Aliff Asyraf Azhari, baru-baru ini.

Menurut Hizanawati, baju Melayu kelabu yang dipakai arwah pada lebaran lalu antara peninggalan Allahyarham yang amat bermakna.

“Baju Melayu itu memang Damin suka sangat pakai, baju itu saya yang pilih warna, dia suka sangat bila dapat baju tu.

“Setiap kali saya teringatkan Damin, saya akan ambil baju Melayu ini, saya akan peluk dan cium, terasa seolah arwah masih ada,” katanya sebak.

Dalam pada itu, Hizanawati turut menceritakan tentang masakan kegemaran anaknya, lauk ayam masak lemak cili api yang menjadi menu kegemaran Allahyarham setiap kali lebaran.

“Jujur saya katakan, disebabkan itu, sejak hari Damin meninggal sehingga kini, saya tak pernah masak lagi masakan ini,” katanya.

Menurut Hizanawati, kematian Allahyarham Muhammad Damin amat dirasai apatah lagi, dia juga kehilangan suaminya, Kamsol Abd Kadir dan anak keduanya, Muhammad Haikal Danial, empat tahun lalu.

Muhammad Damin ketika memakai baju Melayu yang dibeli ibunya pada Aidilfitri tahun lalu.
Muhammad Damin ketika memakai baju Melayu yang dibeli ibunya pada Aidilfitri tahun lalu.

Katanya, Allahyarham Kamsol meninggal akibat strok pada April 2019 dan Muhammad Haikal pula meninggal dunia pada 1 September tahun sama.

Sehubungan itu, ibu tunggal tersebut turut berharap agar keadilan sentiasa ada buat anaknya.

“Saya difahamkan siasatan masih berjalan, jadi biarlah ia disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa,” kata wanita tersebut.

Dalam kejadian pada Ogos tahun lalu, Muhammad Damin dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.

Berikutan kejadian itu, polis menahan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran terbabit.

Mereka ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.