Kita belum menang sepenuhnya

Nawawi, Jeremy, Azrul
Nawawi, Jeremy, Azrul
A
A
A

[LAPORAN KHAS] RAKYAT Malaysia diingatkan supaya terus fokus melawan penularan virus koronavirus (Covid-19) walaupun pada ketika ini negara berjaya meratakan lengkungan rantaian jangkitan virus pembunuh berkenaan.

Seorang pegawai bank, Nawawi Marzuki, 33, berkata, Malaysia masih belum menang sepenuhnya kerana gelombang ketiga boleh berlaku bila-bila masa sekiranya rakyat gagal mematuhi segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Pada pandangan saya, kerajaan mengambil langkah yang sangat bijak dan teratur untuk menangani penularan wabak Covid-19 di Malaysia sehingga ke hari ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah patuh serta cakna dengan segala arahan daripada kerajaan demi memastikan kesejahteraan masyarakat pada umumnya. Kita juga tidak boleh alpa kerana bila-bila masa sahaja Covid-19 ini boleh kembali mengganas,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Berkongsi pandangan sama, pengurus acara, Jeremy Chee Mun Hoe, 31, berkata, masyarakat pada hari ini menyedari bahawa sekiranya tersilap langkah, negara bakal berdepan dengan episod duka sekali lagi.

"Jadi bagi mengelakkan ia berulang, rakyat mengamalkan normal baharu kehidupan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

“Sepanjang PKP ini dalam masa hampir dua bulan, kerajaan berjaya menyesuaikan dan melatih rakyat untuk normal baharu sekarang. Kerajaan Malaysia juga mendapat pujian dari negara lain kerana dapat membendung wabak ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Azrul Nizam Mohd Sohaidi, 27, yang juga seorang jurutera pula menyifatkan kerajaan terutamanya petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Langkah yang diambil kerajaan dengan nasihat daripada Kementerian Kesihatan sudah pun membuahkan hasil pertama apabila dapat membendung penularan sehingga dapat mengurangkan jumlah kes baharu di bawah paras 100 kes sehari,” katanya.

Biarpun berjaya mencapai objektif, Mohamad Azrul tetap mengingatkan masyarakat perlu mengikuti langkah-langkah dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada setiap masa.