AS perlu belajar dari Malaysia

Pfundheller ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Pfundheller ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KEJAYAAN Malaysia meratakan lengkungan graf penularan virus pembunuh Covid-19 melalui langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu kini mendapat perhatian masyarakat dunia.

Salah seorang doktor yang berasa kagum dengan pendekatan yang dilakukan Malaysia ialah lelaki kelahiran Amerika Syarikat (AS), Dr Dustin Pfundheller, 34.

Melalui temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, Pfundheller yang juga seorang doktor gigi, menyeru AS mempelajari apa yang dilakukan Malaysia sehingga berjaya mengurangkan jumlah kes positif Covid-19.

“Saya berpendapat negara luar boleh mempelajari banyak perkara dari Malaysia terutamanya negara barat kerana negara barat cenderung melakukan sesuatu dengan cara sendiri. Contoh terbaik adalah politik.

“Malaysia sebenarnya sedang berdepan krisis politik tetapi Malaysia menyedari bahawa kesihatan dan kesejahteraan adalah lebih penting. Maka Malaysia mengetepikan agenda politik. Saya harap AS boleh melakukan perkara yang sama seperti Malaysia,” katanya baru-baru ini.

AS pada ketika ini merekodkan lebih 1.5 juta jangkitan Covid-19 dengan jumlah kematian mencecah 100,000 orang.

Selain AS, Rusia, Brazil, Sepanyol, United Kingdom, Itali dan Perancis mendominasi kedudukan teratas jangkitan Covid-19, mengatasi China yang menjadi lokasi pertama serangan koronavirus.

Pfundheller sebelum ini menjadi bualan rakyat Malaysia selepas video dihasilkannya membabitkan kejayaan Malaysia menangani penularan Covid-19 berbanding negara lain di Asia Tenggara tular di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Video Pfundheller bertajuk, Malaysia’s Incredible Covid-19 Story yang mula disiarkan di Facebook miliknya Other Side of the Truth pada 9 Mei lalu memuji langkah diambil Malaysia dalam menangani wabak itu.

Video berkenaan ditonton lebih 1.2 juta kali dan dikongsi sekurang-kurangnya 56,000 kali di Facebook.

Beliau berkata, video itu dihasilkan bagi memaklumkan kepada dunia mengenai kehebatan Malaysia menangani pandemik Covid-19 yang tidak begitu dilaporkan media massa antarabangsa.

Beliau turut mengeluarkan sebuah lagi video bertajuk How Malaysia Did The Impossible Covid-19 pada 18 Mei lalu dan sudah ditonton lebih dua juta pengguna.

Bercerita berkenaan pembikinan video itu, Pfundheller mendedahkan bahawa seorang pengikut Facebook dari Malaysia memberi komen terhadap satu video ciptaannya dengan mengatakan Malaysia mempunyai kisah yang unik melawan Covid-19.

“Pada mulanya saya tidak percaya tetapi apabila melihat statistik pada satu ketika Malaysia merekodkan tiga kali ganda jumlah positif Covid-19 berbanding negara ASEAN lain dan sekarang menjadi salah satu tempat paling selamat di dunia, saya harus menceritakan kisah yang menakjubkan ini,” katanya.

Kongsi Pfundheller, respons yang diterimanya terhadap video berkenaan cukup baik dan daripada situ, masyarakat dunia dapat mengetahui bagaimana Malaysia berjaya mengawal rantaian penularan virus tersebut.