Hajat merempit tak kesampaian

Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas kesemua mat rempit yang ditahan sempena Op Samseng Jalanan, kelmarin. - Foto ihsan Facebook IPD Kemaman
Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas kesemua mat rempit yang ditahan sempena Op Samseng Jalanan, kelmarin. - Foto ihsan Facebook IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Hanya sekadar suka-suka, kumpulan mat rempit di daerah ini sanggup mempertaruhkan nyawa dengan melakukan pelbagai aksi berbahaya di atas jalan raya.

Namun baru saja memanaskan enjin, hasrat mencari kepuasan diri dengan bergelar 'juara' tidak kesampaian apabila mereka digempur polis dalam serbuan di dua lokasi berasingan di daerah ini, kelmarin.

Serbuan pertama dilakukan di jalan Kampung Pasir Gajah di sini kira-kira jam 2 hingga 4 petang manakala serbuan kedua di jalan Kampung Binjai, Chukai di sini jam 6.30 petang hingga 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kedua-dua serbuan sempena Op Samseng Jalanan itu, pihaknya mengeluarkan sebanyak 28 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Antara kesalahan lalu lintas tersebut termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, ubah suai kenderaan terutama ekzos dan nombor pendaftaran tidak ikut peraturan.

"Kami jalankan Op Samseng Jalanan ini adalah bertujuan mengesan dan menangkap penunggang motosikal yang menjalankan aktiviti merempit dan juga lumba haram," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima individu ini yang ditahan dipercayai hendak merempit. - Foto ihsan Facebook IPD Kemaman
Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima individu ini yang ditahan dipercayai hendak merempit. - Foto ihsan Facebook IPD Kemaman

Beliau berkata, mereka yang diperiksa berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

Operasi membabitkan pegawai dan anggota daripada 'Team Hilux Hitam' dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Kemaman hasil risikan dan maklumat awam mengenai kegiatan rempit di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Hanyan berkata, operasi sebegini akan diteruskan dari masa ke masa terutama pada hujung minggu untuk memastikan aktiviti merempit dapat ditangani khususnya di daerah ini.

"Kita semua sedia maklum, aktiviti merempit ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri malahan pengguna jalan raya yang lain serta mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising ekzos yang diubah suai.

"Justeru, kami berharap orang ramai agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti merempit ini kepada pihak polis supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mereka," katanya.