Cuepacs mahu kebajikan petugas depot tahanan Imigresen diutamakan

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi kepada petugas di semua Depot Tahanan Imigresen (DTI) bagi mengelak risiko jangkitan koronavirus (Covid-19).

Presidennya Adnan Mat berkata selain itu, klinik medan di DTI juga perlu diwujudkan dengan menempatkan pegawai Kementerian Kesihatan sebagai pusat rujukan dan nasihat keselamatan kepada pegawai Jabatan Imigresen selain memantau pematuhan prosedur operasi standard dalam mengendalikan pesakit atau tahanan.

Beliau berkata meskipun keadaan di DTI masih terkawal, pihaknya menerima aduan bahawa ada pegawai bertugas berasa takut dan risau dengan keselamatan diri kerana tidak semua petugas mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan pesakit yang disahkan positif Covid-19.

“Justeru itu langkah tersebut (PPE dan klinik medan) adalah wajar kerana ia boleh mencegah risiko jangkitan yang lebih teruk di DTI serta memberi motivasi kepada pegawai di lapangan kerana aspek keselamatan mereka tidak dipandang remeh,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sejak beberapa hari lepas, dilaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dikesan di tiga DTI menempatkan pendatang tanpa izin iaitu di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih.

Adnan berkata Cuepacs juga difahamkan bahawa terdapat pegawai yang bertugas di DTI diarahkan untuk dikuarantin selama 14 hari dan sepanjang ketiadaan mereka, pegawai dari negeri dan bahagian lain dihantar untuk mengambil alih tugas kawalan di depoh terbabit.

“Bayangkan jika pegawai gantian ini juga diarahkan untuk dikuarantin jika terdapat keperluan, jabatan akan menghadapi kesukaran untuk menggantikan pegawai tersebut lantaran kekurangan pegawai kerana jabatan ini masih perlu menjalankan fungsi lain demi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Cuepacs berpuas hati dengan aspek kebajikan penjawat awam yang bertugas di DTI khususnya di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang namun ia harus dipertingkatkan lagi bagi mengelak risiko yang tidak dijangka berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihati semua pihak, terutama badan bukan kerajaan (NGO), yang mengkritik tindakan operasi tangkapan dan menahan pendatang tanpa izin supaya berhenti membuat tuduhan negatif yang kononnya tindakan itu bersifat diskriminasi.

“Harus diingatkan setiap tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dalam menahan pendatang tanpa izin adalah bertujuan memastikan keamanan dan keselamatan rakyat serta negara terjamin, terutama yang melibatkan hal berkaitan risiko penularan Covid-19.

“Semua pihak, terutama NGO, sepatutnya memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dan bukannya memberi kritikan tidak berasas. Keutamaan negara sudah tentu adalah bagi mencegah penularan Covid-19 serta menjaga kedaulatan negara,” katanya. - Bernama