Diekori beruang ketika daki gunung

Alessandro kelihatan tenang berjalan sambil seekor beruang mengekorinya dari belakang. - Foto CNN
Alessandro kelihatan tenang berjalan sambil seekor beruang mengekorinya dari belakang. - Foto CNN
A
A
A

ROME - Sebuah keluarga cemas selepas anak mereka diekori seekor beruang ketika mendaki sebuah gunung di sini.

Lapor CNN, rakaman video menunjukkan Alessandro berusia 12 tahun diekori beruang berwarna coklat.

Dalam video itu juga kedengaran suara bapa tirinya, Loris Calliari yang memberitahu Alessandro agar bergerak perlahan-lahan dengan berkata, "Ayuh Ale, jangan berpaling kepadanya. Bertenang."

Calliari yang merakam aksi luar biasa itu memberitahu CNN bahawa pada pagi Ahad, dia bersama lima lagi ahli keluarganya mendaki gunung yang terletak berhampiran rumah mereka.

Ketika kejadian, Alessandro cuba mengambil buah pokok pine di kawasan semak sebelum melihat seekor beruang yang sedang tidur di kawasan itu.

Calliari berkata, Alessandro sangat menyukai haiwan terutama beruang.

"Ketika melihat binatang itu, Alessandro meminta saya mengambil gambar dan video dengan beruang di belakangnya.

"Selepas itu, saya dapati beruang itu bergerak dan saya menyuruh Alessandro berjalan perlahan-lahan.

Artikel Berkaitan:

"Pada awalnya saya gugup tetapi selepas melihat beruang itu tidak agresif, jadi saya tenang sahaja," katanya.

Kira-kira sebulan lalu, Calliari sekeluarga pernah menonton video di YouTube tentang apa yang harus mereka lakukan jika bertembung dengan beruang dan ternyata Alessandro berjaya melakukannya.

Kemudian, Calliari sekeluarga memutuskan untuk berkongsi video di Facebook kerana menyedari pengalaman itu adalah luar biasa dan sebelum ia tular.