PKPB: Orang awam perlu kelulusan CAAM untuk terbangkan dron

Orang awam yang ingin menerbangkan dron dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu memohon dan mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). - Foto Bernama
Orang awam yang ingin menerbangkan dron dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu memohon dan mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang awam yang ingin menerbangkan dron dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu memohon dan mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana permit kelulusan hanya dikeluarkan oleh CAAM dan bukan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Khas atau Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

“Mereka (orang awam) perlu mendapatkan kebenaran (permit dikeluarkan CAAM), selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menerbangkan dron.

“Sekiranya kedua-dua pihak berkuasa (CAAM dan PDRM) ini memberi kebenaran maka tiada masalah untuk orang awam menerbangkan dron,” katanya dalam sidang media harian mengenai PKPB di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semua pihak termasuk pengamal media diingatkan untuk tidak menerbangkan dron di mana-mana lokasi di seluruh negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei lepas.

Sementara itu, ditanya mengenai pendatang tanpa izin yang membina penempatan secara haram di luar tapak pembinaan, Ismail Sabri berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan.

“Mereka (pendatang tanpa izin) sudah tentu tidak sah bekerja di negara kita, isu pendatang tanpa izin ini sama sahaja (dengan operasi sewaktu bukan tempoh PKP)...mereka masuk secara haram.

“Operasi yang dilakukan terhadap pendatang tanpa izin sahaja dan bukannya melibatkan warga asing yang mempunyai permit dan dokumen sah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mereka yang masuk secara sah, kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan tidak kira sama ada tinggal di dalam atau di luar tapak pembinaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersedia sekiranya berlaku kenaikan kes COVID-19 di depoh-depoh tahanan imigresen yang lain, selepas berlaku kes Covid-19 di depoh imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih.