Muhyiddin ada sokongan ‘tersembunyi’, kata Pas

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KOTA BHARU – Pas yakin sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih besar walaupun hanya 113 kerusi Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu mempunyai sokongan ‘tersembunyi’.

“Walaupun kita tidak dapat dua pertiga namun jumlah sokongan tetap besar dari apa yang kita nampak,” katanya ketika ditemui di kediaman warga emas berusia 72 tahun, Rosalind Yakob yang menjadi mangsa kebakaran malam kelmarin di Padang Tembak di sini.

Mohd Amar berkata, ia bukanlah satu cabaran kepada Perikatan Nasional untuk terus berjuang demi rakyat walaupun jumlah kerusi ahli parlimen yang tertulis nampak kecil.

Mohd Amar berkata, sokongan kepada perdana menteri juga semakin baik walaupun pada awalnya ramai yang tidak yakin dengan kemampuan Muhyiddin untuk mengemudi negara.

“Imej Perikatan Nasional (PN) juga makin meningkat dalam kalangan rakyat dan Muhyiddin mempunyai pasukan yang baik dan hebat,” katanya.

Sebelum ini timbul kerisauan yang digambarkan sesetengah pengkaji politik yang mendakwa politik PN tidak stabil melibatkan sokongan dan bilangan kerusi di parlimen.

Ada yang berpendapat, kelangsungan politik pakatan itu dijangka tidak dapat bertahan lama terutamanya apabila Pakatan Harapan dilihat berhak untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian 18 Mei lalu melaporkan seramai 114 ahli Parlimen Perikatan Nasional duduk di kerusi kerajaan pada Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 dan dengan kedudukan tersebut, Perikatan Nasional dilihat mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Jumlah kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan ialah sebanyak 113. Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Sementara kerusi pembangkang pula diduduki oleh seramai 107 orang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan hanya seorang ahli Parlimen duduk di kerusi bebas iaitu Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.