Penjawat awam jangan rentas negeri sambut Aidilfitri

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menasihatkan semua rakyat Malaysia khususnya penjawat awam supaya sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, antara arahan yang telah ditetapkan adalah larangan melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, setiap warga penjawat awam adalah tertakluk dengan perintah, peraturan dan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu menjadi contoh terbaik kepada anggota masyarakat dengan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah dikuatkuasakan di bawah PKPB dan bukannya melanggar perintah tersebut.

“Sekali lagi diingatkan bahawa setiap warga penjawat awam tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti anggota masyarakat yang lain.

"Lebih buruk jika keengganan mematuhi PKPB semata-mata untuk menyambut Aidilfitri boleh menyebabkan penjawat awam dikenakan tindakan undang-undang serta tatatertib dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs senada dan menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengenai arahan agar penjawat awam mematuhi peraturan di bawah PKPB semasa musim perayaan ini.

“Penjawat awam harus sedar dan mengetahui implikasi yang bakal dikenakan sekiranya tidak mematuhi pekeliling atau peraturan yang telah ditetapkan kerajaan. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman tatatertib seperti amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja,” katanya.

Selain itu katanya, penjawat awam yang dikenakan tatatertib tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Artikel Berkaitan:

“Janganlah tindakan atau perbuatan yang terlalu mengikut perasaan memberi kesusahan kepada kita kelak. Setiap peraturan yang ditetapkan kerajaan bukanlah bertujuan menghukum kita tetapi untuk membawa semula keamanan dan kemakmuran kepada negara,” katanya.