Pinda segera hukuman berat untuk pemandu mabuk: ABIM

Jumlah kes kemalangan yang didakwa berpunca daripada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol semakin meruncing termasuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Jumlah kes kemalangan yang didakwa berpunca daripada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol semakin meruncing termasuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan agar segera meminda undang-undang supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, jumlah kes kemalangan yang didakwa berpunca daripada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol semakin meruncing termasuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurutnya, ABIM memandang serius perkara tersebut yang menggugat kesejahteraan pengguna jalan raya lain.

"Menerusi laporan berita semasa, seolah-olah kes-kes sebegini semakin meruncing dan memerlukan satu tindakan penyelesaian yang tuntas dari pihak berkuasa.

"Justeru, bagi memelihara keselamatan seluruh pengguna jalan raya, ABIM menegaskan bahawa sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak untuk mengetatkan lagi hukuman ke atas pemandu yang dinyatakan.

"Ini termasuk dengan meminda Seksyen 45 A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan meletakkan hukuman hilang kelayakan memandu seumur hidup mandatori bagi kesalahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Muhammad Faisal berkata, hukuman sesi pemulihan jangka panjang wajar dikenakan ke atas pesalah terbabit.

Menurutnya, undang-undang jalan raya di Singapura memperuntukkan hukuman lebih berat berbanding negara ini.

Artikel Berkaitan:

"ABIM menegaskan bahawa saranan ini telah berkali-kali dikeluarkan oleh pihaknya termasuk pada 24 Januari lalu sebagai mewakili kebimbangan dan keresahan masyarakat dalam isu ini.

"ABIM juga akan bersama-sama Friendship Group of Inter Religious Services (FGIS) untuk meneruskan program kesedaran berkaitan 'Drugs, Alcohol, Relationship, Time-management & Smoking' (DARTS).

"Ini salah satu fokus utama untuk membendung masalah alkohol dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kakitangan Alam Flora maut dilanggar pemandu mabuk