Noh ibarat talian hayat terakhir UMNO Selangor

Noh Omar -Foto Sinar Harian
Noh Omar -Foto Sinar Harian
A
A
A

UMNO Selangor sekali lagi menyaksikan perubahan pimpinan apabila Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan bersetuju untuk mengembalikan jawatan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada April lalu.

Tindakan Mat Nadzari itu boleh dikatakan amat mengejutkan tatkala UMNO Selangor semakin tenang selepas kontroversi cadangan menjual Bangunan UMNO Selangor baru-baru ini.

Jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kemudiannya diserahkan kepada Tan Sri Noh Omar yang melepaskannya selepas UMNO Selangor tewas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu.

Sebelum ini, Mat Nadzari pernah mencadangkan kepada ketua-ketua UMNO bahagian mengenai hasrat untuk menjual bangunan Ibu Pejabat UMNO Selangor selepas parti itu berdepan kekangan kewangan susulan pembekuan akaun oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan keras daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berasakan ada jalan lain untuk mendapatkan sumber kewangan, bukannya dengan menjual Bangunan UMNO Selangor.

Jamal turut berhasrat membuat permohonan kaveat ke atas Bangunan UMNO Selangor namun membatalkan hasrat itu selepas mengadakan perbincangan bersama Noh dan ketua-ketua UMNO bahagian lain.

Noh menerusi wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini turut mendedahkan beliau memilih untuk menerima semula jawatan itu selepas 20 daripada 22 ketua UMNO bahagian di Selangor menyokongnya secara konsensus dan memintanya kembali.

Noh berkata, 20 ketua UMNO bahagian itu turut terlibat menghantar memorandum yang telah ditandatangani bagi menyatakan sokongan untuk beliau memegang jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Strategi

Apakah pelantikan semula Noh satu langkah tepat oleh kepimpinan UMNO?

Menjawab persoalan itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, pelantikan semula Noh berkemungkinan disebabkan oleh pucuk pimpinan parti memerlukan seorang pemimpin lama bagi merapatkan barisan kepimpinan UMNO Selangor.

“Noh perlu membuat strategi baharu bagi menggelakkan berlakunya perpecahan dalaman parti dan mendepani PH,” katanya.

Tambah Sivamurugan, walaupun Mat Nadzari telah memberi sumbangan besar kepada UMNO Selangor namun keadaan politik yang berbeza ketika ini tidak mengizinkan perubahan berlaku.

“Pada saya, apa yang dicadangkan oleh Mat Nadzari untuk menjual bangunan UMNO Selangor mungkin rasional namun ada sebilangan yang tidak dapat menerima lalu membuat kritikan secara terbuka,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, UMNO Selangor sepatutnya berani menampil muka baharu seperti Setiausaha Politik Menteri Wilayah, Budiman Mohd Zohdi.

Katanya, Budiman mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin bagi membawa nafas baharu dalam UMNO Selangor malah turut mempunyai latar belakang yang bersih.

“UMNO Selangor perlukan pembaharuan dan bukannya hanya bergantung kepada muka lama sahaja. Banyak pemimpin berpotensi perlu diberi peluang,” katanya.

Apa yang pasti, katanya, Mat Nadzari sudah melakukan usaha semampunya bagi menggerakkan semula kebangkitan UMNO Selangor bagi menghadapi PRU15.

Namun begitu, mungkin percaturannya yang dianggap tidak popular dan telah memakan diri, lalu beliau memilih untuk berundur secara terhormat demi keharmonian parti dan kepentingan peribadi.

Kini tanggungjawab di bahu Noh untuk memperkasakan semula parti dan kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional adalah peluang terbaik untuk meraih semula sokongan rakyat Selangor berdasarkan perkembangan positif politik di peringkat Persekutuan.

* Asyraf Muhammad ialah wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/Wilayah Persekutuan